KERAJAAN hari ini memutuskan untuk mengurangkan harga runcit bagi RON97 sebanyak 10 sen kepada RM3.28 seliter bagi tempoh 13 Mac hingga 19 Mac ini, kata Kementerian Kewangan.
Turut mengalami penurunan ialah harga runcit diesel bagi Semenanjung Malaysia yang dikurangkan kepada 7 sen seliter kepada RM3.06 bagi tempoh yang sama, iaitu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada paras RM2.15 seliter.
MOF berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Ini merupakan penurunan harga runcit RON97 dan diesel minggu kedua berturut-turut setelah minggu lalu kedua-dua bahan bakar itu dikurangkan harga sebanyak 5 sen. – Edisi 9

