BEREGU no. 2 dunia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan cabaran Malaysia dalam kejohanan badminton Terbuka Seluruh England selepas menewaskan masing-masing di pusingan 32 hari ini.
Nur Izzuddin-Sze Fei berjaya menundukkan beregu Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 21-17, 21-14 dalam pertarungan 37 minit di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi untuk melangkah ke pusingan 16 kejohanan Super 1000 itu.
Pearly-Thinaah pula menewaskan beregu Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun, 19-21, 21-15, 21-13 untuk mengiringi Nur Izzuddin-Sze Fei ke pusingan 16 yang akan berlangsung esok.
Harapan melihat satu lagi wakil beregu campuran negara mara tidak kesampaian apabila pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja 21-18, 22-20, 21-11.
Turut gagal menempah slot ke pusingan 16 ialah pasangan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang gagal menyaingi beregu Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund 16-21, 19-21.
Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong juga tunduk kepada lawannya, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dari Korea Selatan 14-21, 12-21.
Dengan keputusan tersebut, menjadikan setakat 11 malam ini, hanya tiga wakil negara meneruskan cabaran dalam kategori beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Manakala satu lagi wakil beregu lelaki Man Wei Chong-Kai Wun Tee akan berdepan dengan beregu China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu kira-kira 3.35 pagi waktu Malaysia.
Semalam, hanya pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai melepasi saingan kategori beregu campuran sementara perseorang utama negara, Lee Zii Jia bergelut dengan kecederaan sebelum tewas kepada pemain Hong Kong, Angus Angus Ng Ka Long.
Turut gagal meneruskan cabaran ialah pemenang pingat gangsa Olimpik 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ditewaskan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard. – Edisi 9

