JEMAAH menteri diminta untuk menimbang dan meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia utama bagi memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang secara mampan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan itu dibuat oleh Jawatankuasa Peringkat Tertinggi SEGiM yang bermesyuarat dan dipengerusikan beliau di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, berkata usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan yang mahu memastikan ekosistem ekonomi gig berkembang dengan lebih berdaya saing melalui kawal selia yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Sebagai industri yang sedang berkembang pesat, ekonomi gig memerlukan satu pendekatan pengawalseliaan yang bukan sahaja melindungi pekerja gig tetapi juga menyeimbangkan kepentingan penyedia platform, pengguna dan pihak berkepentingan lain.
“SEGiM akan berperanan dalam memastikan hak pemegang taruh terjamin melalui pemantauan standard perkhidmatan, penguatkuasaan dasar yang lebih telus, serta menggalakkan amalan industri yang lestari dan adil,” katanya hari ini.
Zahid berkata, beliau percaya melalui mekanisme kawal selia yang lebih tersusun, ekosistem ekonomi gig dapat berkembang secara inklusif dan memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada pekerja gig.
Pada masa yang sama, jelas beliau, ia bagi memastikan industri tersebut terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.
“Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasa sektor ini dengan memperkenalkan dasar yang progresif dan berdaya tahan agar ekonomi gig di Malaysia bukan sahaja berdaya saing di peringkat global tetapi juga mampu memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada rakyat,” katanya. – Edisi 9

