Saturday, June 13, 2026

‘Capitation Grant’ untuk kerajaan negeri dinaikkan 25 peratus

Ini merupakan kali pertama Capitation Grant tersebut dikaji semula sejak 2002.

Mesti Baca

KERAJAAN Madani bersetuju untuk menaikkan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) kepada 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan kali pertama Capitation Grant dikaji semula sejak 2002.

Anwar berkata, kadar baharu itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Antara persetujuan utama yang telah diluluskan adalah peningkatan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang, atau Capitation Grant, kepada Kerajaan Negeri sebanyak 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta.

“Ini merupakan kali pertama kadar Capitation Grant ini disemak sejak tahun 2002,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Premier Sarawak, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri di Putrajaya hari ini. – Foto: PMO

Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI bertekad untuk merapatkan kerjasama dengan semua kerajaan negeri, tanpa mengambil kira fahaman dan kencenderungan politik agar khidmat kepada rakyat dapat disempurnakan dengan baik.

“Acap kali saya ingatkan bahawasanya apabila berkhidmat untuk rakyat, hubungan dengan semua Kerajaan Negeri harus kekal utuh demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan juga telah meningkatkan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri kepada RM9.8 bilion untuk tahun 2025 berbanding RM9.3 bilion pada tahun lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Majlis Kewangan Negara tahun ini turut meluluskan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk pemulihan biodiversiti (EFT).

Anwar berkata, tumpuan Kerajaan MADANI untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terbukti dengan peningkatan peruntukan EFT daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM200 juta pada tahun lalu dan seterusnya RM250 juta tahun ini.

“Melalui Majlis Kewangan Negara, Kerajaan MADANI menunjukkan komitmennya untuk bekerjasama dan memberikan sokongan berterusan kepada semua kerajaan negeri ke arag pembangunan Malaysia MADANI,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan