PEMBAYARAN faedah sebanyak RM136 juta kepada GOVCO Holdings Berhad merupakan salah satu punca dua syarikat subsidiari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengalami kerugian sebanyak RM165 juta.
Kerugian tersebut dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 dalam Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 sepertimana yang dibahaskan di Parlimen hari ini.
FELDA dalam satu kenyataan berkata, penjejasan nilai pelaburan dalam Syarikat Bersekutu akibat penurunan harga pelaburan saham pada tahun 2023 sebanyak RM25 juta berbanding RM38 juta pada tahun sebelumnya juga menjadi penyumbang kerugian.
“Dalam laporan yang sama, sebanyak sembilan lagi syarikat subsidiari FELDA merekodkan keuntungan.
“FELDA terus komited untuk memastikan kedudukan kewangan yang kukuh dan mampan dengan mengambil langkah-langkah strategik bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta mengurangkan risiko kewangan,” kata kenyataan itu, malam tadi.
Selain itu, FELDA juga akan terus mengukuhkan kawalan kewangan dan memperbaiki prestasi anak-anak syarikat bagi memastikan kestabilan, berdaya tahan dan berada di landasan yang betul. – Edisi 9

