DATUK Seri Anwar Ibrahim mahukan agar seluruh rakyat di negara ini menanam semangat saling menghormati dan menerima perbezaan kerana ia menjadi tunjang memungkinkan perpaduan.
Menurut Perdana Menteri, keunikan budaya dan amalan yang berbeza juga harus diraikan sebagai kekuatan dan bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah.
“Lantas, ciri ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan,” katanya dalam kata ucapan sempenan perayaan Thaipusam yang disambut hari ini.
Anwar berkata, setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti itu seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip hidup berdamping (coexistence).
Beliau berkata, Thaipusam juga bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman, dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.

Kata beliau, perayaan itu turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan.
Tidak hanya itu, jelas Perdana Menteri, Thaipusam turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan.
Katanya, ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan,” kata beliau.
Tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, kita saksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif; yakni cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan saling memahami,”katanya.
“Saya sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.
“Justeru, mari bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.
“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” kata beliau. – Edisi 9

