KHUTBAH Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini menyeru umat Islam agar terus menunjukkan solidariti dan mengambil tindakan bagi membantu saudara seagama di Gaza yang masih menderita akibat peperangan panjang.
Khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menekankan bahawa persaudaraan sesama Islam bukan sekadar perkataan tetapi perlu dizahirkan melalui bantuan dan usaha nyata untuk membangunkan semula Gaza.
Berdasarkan teks khutbah tersebut, peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar.
“Walaupun gencatan senjata telah diumumkan pada 19 Januari 2025, keadaan di Gaza masih sangat kritikal.
“Laporan menunjukkan bahawa 69 peratus infrastruktur musnah, hampir 88 peratus sekolah dan universiti rosak, dan lebih separuh hospital tidak berfungsi sepenuhnya,” kata khutbah Jumaat yang diedarkan kepada masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan.
Khutbah itu berkata, Islam mengajar kita bahawa umat Islam itu bersaudara dan jika satu anggota sakit, seluruh tubuh akan merasakannya.
“Maka, penderitaan saudara kita di Gaza adalah tanggungjawab kita bersama,” kata teks khutbah tersebut.
Khutbah turut menyampaikan bahawa kerajaan Malaysia akan terus menyokong usaha membangunkan semula Gaza, termasuk membantu dalam pembinaan sekolah, hospital, dan masjid.
Rakyat Malaysia, baik dari pihak kerajaan, NGO, mahupun individu, digalakkan untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha ini sebagai satu bentuk jihad kemanusiaan dan penyatuan ummah.
Khutbah ini juga mengingatkan bahawa setiap Muslim yang membantu meringankan kesusahan saudaranya akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah, sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.”
Khutbah diakhiri dengan doa agar umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Gaza, diberikan kekuatan dan perlindungan daripada kezaliman. – Edisi 9

