Thursday, June 4, 2026

RM15.11 bilion untuk biayai 270 program keusahawanan – Zahid

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

KERAJAAN akan membelanjakan sebanyak RM15.11 bilion bagi melaksanakan 270 program keusahawanan dan memanfaatkan 479,350 usahawan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kesemua program tersebut telah dirancang melalui pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri sepertimana dilapor oleh Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA).

Menurut beliau, melalui laporan yang sama, bilangan program dan perbelanjaan bagi program keusahawanan serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (adalah secara purata sebanyak 191 program) yang telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 billion.

Malahan, beliau berkata, pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 15.48 bilion telah dibelanjakan bagi 258 program keusahawanan dan pembangunan PMKS.

“Saya melihat pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan sebagai rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh, khususnya kementerian dan agensi yang berada di dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi menambah baik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, SME Corp. Malaysia turut melaksanakan Sistem Pendaftaran Status PMKS bagi memastikan program yang dilakukan adalah lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS, seterusnya mengelakkan ketirisan.

Beliau berkata, mesyuarat bersetuju agar Sistem Pendaftaran Status PMKS disepadukan bersama-sama sistem-sistem utama lain seperti seperti PADU, Pangkalan Data SSM dan GovTech Malaysia.

Katanya, ini bagi meningkatkan sinergi antara kementerian dan agensi seterusnya menambah baik sistem penyampaian kerajaan, terutamanya dalam pembangunan keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program-program pembangunan usahawan dalam negara, mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bil 2 Tahun 2024 hari ini juga telah mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada bagi memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS di Malaysia.

Katanya, penambahan keanggotaan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Saya percaya melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan SEK-MPUPK, membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program pembangunan usahawan dan PMKS khususnya bagi menembusi pasaran global dan meluaskan capaian sehingga kawasan luar bandar,” katanya.

Zahid juga menyarankan agar kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini kerana, katanya, ia amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber kerajaan. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan