SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kecewa apabila pesawat Malindo Air yang mahu dinaiki menutup pintu pelepasan lebih awal berbanding jadual berangkat.
Menurut beliau, penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur itu sepatutnya berangkat pada pukul 6.50 petang tetapi telah ditunda kepada 8 malam hari yang sama.
Katanya, beliau telah ke pintu pelepasan selepas namanya dipanggil pada pukul 7.45 petang dan mengambil masa lima minit untuk sampai di pintu berkenaan.
“Namun pintu telah ditutup. Ini penganiayaan pada pengguna. Harap Menteri (Pengangkutan) Anthony Loke ambil tindakan tegas.
“Ingat, ada ubi ada batas. Dahlah lambat menyusahkan orang!,” katanya menerusi platform X malam tadi.
Bagaimanapun Shamsul Iskandar tidak menyatakan sama ada beliau dapat menaiki pesawat yang sama ataupun mengambil penerbangan lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy membalas ciapan Shamsul Iskandar berkata, pesawat tersebut mengalami kelewatan disebabkn faktor cuaca yang ‘tidak menggalakkan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Justeru itu, pihak kami terpaksa mengambil tindakan untuk berlepas secepat mungkin setelah membuat pengumuman untuk mengelak daripada penumpang kami terlepas ke penerbangan yang selanjutnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memohon maaf bagi pihak Batik Air, pengendali pesawat Malindo Air atas insiden yang berlaku tersebut. – Edisi 9

