Thursday, June 4, 2026

UMNO Selangor perlu buang budaya ‘cah keting’ – Tengku Zafrul

Mesti Baca

UMNO Selangor perlu menerapkan budaya baharu dalam parti itu termasuk membuang budaya ‘cah keting’ sekiranya mereka mahu mengembalikan kegemilangan dan menawan semula hati rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tidak ada gunanya mempunyai pelan visi yang tebal tetapi masih mengekalkan budaya lama yang akhirnya UMNO terus kekal tanpa kuasa.

“…Kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar, buang cah keting. Kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, UMNO Selangor juga perlu melaksanakan kajian sikap yang ikhlas selain memodenkan operasi organisasi tersebut dengan sistem yang kos efektif, pantas berkomunikasi dan terbuka menerima idea daripada akar umbi.

Menurutnya, tiada apa lagi yang boleh mencelikkan UMNO Selangor jika kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri tempoh hari sedikit pun tidak membawa apa-apa perubahan dalam parti itu.

Tengku Zafrul bersama barisan kepimpinan peringkat Bahagian Kota Raja.

Beliau berkata, sehingga kini selepas lapan bulan PRN, UMNO Selangor masih belum membuat post mortem mendalam berhubung keputusan PRN bahkan tidak mempunyai sebarang strategi baharu untuk menawan hati rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu berkata, jika pandangan beliau tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, adalah lebih baik beliau tumpuan peringkat Pusat dan bahagian.

“Dalam PRU (Pilihan Raya Umum) 2022, UMNO mencatatkan prestasi terburuknya dalam sejarah. Satu kerusi pun tak menang. Kemudian kita tiba ke PRN. Cuma menang dua kerusi. Kalah teruk lagi.

“Selepas UMNO Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk UMNO Selangor. Kalau keputusan PRN tu masih belum celikkan UMNO Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan UMNO Selangor.

“Sekarang ni dah lapan bulan lepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baharu tawan hati rakyat? Tak ada.

“Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu UMNO di peringkat pusat & di peringkat bahagian,” katanya.

Minggu lalu, beliau melepaskan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor kerana kecewa dengan perencanaan parti di peringkat negeri yang disifatkannya hambar. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan