27 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Harimau Malaya berjaya dikesan di selatan Thailand

Mesti Baca

SEEKOR harimau Malaya yang berasal dari Semenanjung Malaysia berjaya dikesan di Taman Negara Bang Lang di Yala, selatan Thailand.

Penemuan subspesies hanya didapati di wilayah sempadan selatan Thailand dan Malaysia itu telah dilaporkan oleh Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) menerusi Facebook rasmi mereka.

Difahamkan, Taman Negara Bang Lang dan Santuari Hidupan Liar Hala-Bala adalah satu-satunya dua lokasi di Thailand di mana harimau Malaya dikesan.

Penemuan harimau yang dikenali sebagai Bang Lang 01, dilakukan oleh sistem Smart Patrol iaitu sistem pengesanan dan pemantauan inovatif digunakan untuk melindungi hidupan liar dan mencegah sebarang ancaman terhadap hutan dilindungi.

Advertisements

Menurut laporan Bangkok Post, Bang Lang 01 ditangkap menggunakan kamera perangkap, satu kaedah digunakan pegawai DNP untuk meneroka hutan dan mengumpul maklumat terperinci mengenai habitat haiwan liar.

Sistem Smart Patrol dan penggunaan kamera perangkap adalah penting untuk membantu menggubal strategi penting memulihara hidupan liar.

“Penampakan harimau jarang ditemui ini telah mencetuskan minat baharu terhadap habitat harimau Malaya, sekali gus menekankan kepentingan menjaga kelangsungan spesies ini.

“Selain itu, ia berfungsi sebagai ‘peringatan kuat’ kepada khazanah tersembunyi yang terdapat di hutan belantara Thailand dan keperluan memuliharanya demi generasi masa depan,” menurut kenyataan DNP. – Agensi

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan