PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong di Seri Perdana, Putrajaya.
Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut kedua-dua pihak membincangkan isu yang mendepani cabaran hal ehwal keselamatan Asia dan dunia demi mengukuhkan hubungan dua hala antara.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai isu semasa dan antarabangsa yang terkait terutamanya berkaitan keselamatan yang memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Platform ini juga peluang untuk kami mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dalam mendepani cabaran hal keselamatan Asia dan juga dunia, amnya,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Anwar berkata, sementelahan, tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan.
“Justeru, dalam kesempatan pertemuan hari ini juga, saya turut mengutuskan surat jemputan kepada Presiden China Xi Jinping untuk mengunjungi Malaysia tahun hadapan sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.
“Moga lebih banyak peluang kerjasama antara Malaysia-China dapat dipertingkatkan lagi demi manfaat bersama-sama, Insya-Allah,”ujar beliau. – Edisi 9

