31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Hubungan dengan Bersatu: UMNO perlu berterus terang, bukan beri isyarat

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

BUAT kali keduanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan demi mengelakkan usaha penyatuan ummah menjadi retorik, Ketua Pemuda UMNO itu menyarankan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya Bersatu kembali ke pangkuan UMNO.

Hujah Asyraf Wajdi, pada hakikatnya orientasi dan ideologi Bersatu adalah sama dan tiada bezanya dengan UMNO, malah hampir keseluruhan kepimpinan serta ahli Bersatu merupakan bekas ahli UMNO.

Dari segi satu segi, tidak dinafikan seruan Asyraf Wajdi itu adalah baik tetapi agak mustahil akan dipersetujui oleh Muhydidin mahupun Bersatu, ia ibarat syarat Puteri Gunung Ledang ketika dipinang oleh Sultah Mahmud.

Justeru lebih baik jika Asyraf Wajdi mahupun mana-mana pemimpin lain bercakap sahaja terus terang, mereka hakikatnya tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu sebaik sahaja pembubaran Parlimen dilakukan.

Ia memandangkan dalam tempoh 48 jam ini selain Asyraf Wajdi terdapat dua lagi pemimpin UMNO turut membuat kenyataan yang ada kaitan dalam soal hubungan parti itu dengan Bersatu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menegaskan, parti itu mesti dominan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan jika mana-mana pihak tidak menerima hakikat itu, ‘game over’ dan ‘no deal’.

Sebelum itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO sebagai sebuah parti politik tertua dan terbesar, tidak akan memadamkan mandat dan tugasnya sebagai parti nasionalis terbesar dan teras kepada kekuatan politik Melayu Islam.

Kata Mohamed Khaled, misi UMNO adalah menguasai semula kerajaan melalui BN dengan kerjasama Pas dan tiada siapa dapat dan patut menghalang.

Kenyataan oleh ketiga-tiga pemimpin itu jelas membuktikan UMNO secara tersiratnya tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu, mereka hanya bertahan ketika ini disebabkan terikat dengan persetujuan bersama menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

Pada masa sama, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh beberapa hari ini dikatakan sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin bagi membincangkan bagaimana hubungan UMNO dan Bersatu boleh diperbaiki.

Advertisements

Satu pertemuan hati ke hati dengan Muhyiddin manakala pertemuan kedua turut disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tetapi penulis tidak melihat ia akan berhasil memandangkan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat lain sudah memberikan isyarat bahawa mereka tidak mahu bersama Bersatu dalam PRU-15.

Oleh itu kepemimpinan UMNO khususnya Ahmad Zahid dan Majlis Tertinggi parti itu perlu membuat satu ketetapan yang jelas apa sebenarnya pendirian parti tersebut.

Tidak payahlah membuang masa memberi syarat itu dan ini apabila memperkatakan seruan Muhyiddin supaya orang Melayu bersatu. Penyatuan Melayu tidak akan berlaku dan tidak mungkin akan berlaku jika meletakkan syarat yang semua orang tahu sukar dilaksanakan.

Persoalan, adakah UMNO bersedia berjuang sendirian kerana sehingga ke hari ini Pas sudah terus konsisten mahukan parti itu, UMNO dan Bersatu kekal bekerjasama dalam PRU-15?

Keadaan itu akan meletakkan UMNO dalam dilema kecuali UMNO begitu yakin bahawa dengan berjuang secara bersendirianpun mereka akan mampu mencapai kemenangan dengan bersandarkan kepada hujah Mohamed Khaled iaitu UMNO adalah parti terbesar, teras kekuatan politik Melayu Islam serta lebih besar dari segi pengaruh kekuatan akar umbi.

Penulis tidak menafikan fakta itu kerana kita harus akui kekuatan Bersatu hanya bergantung kepada Muhyiddin, di peringkat akar umbi kekuatan Bersatu memang boleh dipersoalkan.

Manakala Pas pula mempunyai kekuatan politik Melayu Islam dan mempunyai jentera pilihan raya yang cukup komited – yang mungkin tidak ada kepada parti-parti lain.

Maknanya, masing-masing ada kekuatan dan jika ia digabungkan, insyaallah ia akan mewujudkan satu kekuatan politik luar biasa kepada ketiga-tiga parti Melayu itu, tetapi selagi ada syarat ibarat seperti permintaan Puteri Gunung Leadang sampai ke bilapun parti politik Melayu tidak akan bersatu.

Justeru langkah terbaik ialah UMNO berterus terang dan membuat ketetapan rasmi adakah parti itu akan bekerjasama dengan Bersatu atau tidak.

Jangan di peringkat tertinggi hadir mesyuarat dengan hasrat untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua parti, di peringkat bawah pula pemimpin membuat kenyataan yang menjejaskan usaha tersebut. Akhirnya akar umbi menjadi keliru.

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan