29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

JPJ lancar kempen transaksi tanpa tunai mulai 1 Dis

Mesti Baca

GEORGETOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melancarkan kempen transaksi tanpa tunai yang akan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, kempen yang telah pun dilancarkan pada 1 Disember yang lalu, dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) wilayah utara akan dilakukan secara perintis di cawangan dan ibu pejabat bahagian utara Semenanjung dan seterusnya di seluruh negara.

“Seperti kita sedia maklum cawangan JPJ Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) telahpun melaksanakan transaksi tanpa tunai selepas mendapat kebenaran dari Kementerian Kewangan.

“Walau bagaimanapun, tujuan kita sebolehnya dapat melaksanakan sistem transaksi tanpa tunai seberapa segera di seluruh cawangan JPJ di UTC di seluruh negara bermula pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

tunai
AMINURRAHIM MOHAMED

Untuk rekod, JPJ Batu Uban di Pulau Pinang dan JPJ Perlis adalah dua perintis dalam kempen transaksi tanpa tunai tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 99 peratus pelanggan di JPJ Batu Uban Pulau Pinang telah membayar secara tanpa tunai manakala di JPJ Perlis pula lebih 91 peratus pelanggan mengunakan perkhidmatan tersebut.

Antara kelebihan menggunakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai ialah selain daripada dapat meningkatkan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam, ia juga selaras dengan kehidupan dan norma baharu pasca COVID-19.

Penggunaan sistem ini dapat mengurangkan sentuhan yang wujud dalam transaksi tunai dan sekali gus meminimumkan kemungkinan untuk dijangkiti.

Advertisements

Ia juga dilihat mempunyai banyak kelebihan lain seperti memudahkan pelanggan untuk menjejak rekod kewangan mereka secara sistematik.

Kaedah penggunaan wang kertas seperti pemulangan baki, wang palsu, keciciran , kecurian juga dapat dielakkan.

Sehubungan itu JPJ juga yakin dan percaya pelanggan yang berurusan dengan JPJ mempunyai sebab yang positif untuk turut serta dan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, Pengarah MPC Wilayah Utara, Dr Mazrina Mohd Ibramsah berkata sebagai sebuah jabatan yang memacu produktiviti negara, adalah menjadi tanggungjawab MPC untuk menyokong transformasi agensi kerajaan dan negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, program transaksi tanpa tunai ini adalah selaras dengan program Behavioral Insight di bawah inisiatif Penang Produktif, Perlis Produktif dan Kedah Produktif .

Antara perkhidmatan transaksi tanpa tunai di JPJ yang boleh digunakan oleh pelanggan adalah semua perkhidmatan JPJ termasuk pembaharuan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Pelanggan hanya perlu membawa kad debit ATM atau kad kredit di mana-mana cawangan ataupun ibu pejabat JPJ. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan