Thursday, July 23, 2026

RM30 juta naik taraf laluan Simpang Bakun-Empangan Bakun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memerlukan RM30 juta lagi secara keseluruhannya untuk kerja-kerja menaik taraf laluan Simpang Bakun ke Empangan Bakun di sini.

Ini kerana, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya merancang untuk melebarkan sebahagian laluan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai untuk keselesaan pengguna pada tahun 2024.

“Bagaimanapun, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024.

“Sungguhpun begitu, saya memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan di Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 yang mengalami kerosakan disebabkan banyak lori lebih muatan menggunakan laluan ini dengan kerap.

Alexander meninjau keadaan di Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 yang mengalami kerosakan.

Alexander berkata, secara keseluruhan kementerian telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk memperbaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen.

“Peruntukan ini antara lain melibatkan pembaikan segera lokasi kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan,”katanya.

Sementara itu, hasil daripada tinjauan tersebut, katanya, beliau mendapat laporan, lori-lori ini sengaja melanggar peraturan malah ada pihak bertindak memotong gantri yang dipasang untuk menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.

“Justeru, selaras Kempen #MYJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lalu, saya telah berbincang satu kerjasama dengan penduduk tempatan selain memohon bantuan pengguna jalan raya yang lain untuk melaporkan segera tindakan sedemikian.

“Mereka digalakkan merakamkan gambar perbuatan-perbuatan yang menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan, supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi Kempen #MYJalan juga, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan melibatkan Kementerian Pengangkutan untuk mencari penyelesaian jangka panjang.

“Ia bagi memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan ini dapat dikurangkan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan