MENTERI Luar China, Wang Yi akan memulakan lawatan rasmi ke negara ini selama dua hari bermula hari ini.
Kementerian Luar Negara (KLN) berkata, ini merupakan lawatan kali keenam Wang ke Malaysia sejak menjawat jawatan tersebut.
Katanya, semasa lawatan, Wang dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
“Lawatan Wang ke Malaysia akan memberi peluang terbaik untuk kedua-dua pihak membincangkan serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Lawatan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara, merangkumi pelbagai bidang kerjasama untuk faedah bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tahun inI merupakan Ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China.
Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun hadapan dan ini jelas membuktikan persahabatan yang telah terjalin lama serta hasil kerjasama teguh dalam pelbagai sektor.
Sejak sedekad yang lalu, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.
Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion, meningkat sebanyak 15.6 peratus berbanding 2021. – Edisi 9

