25.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

SPR siap sedia hadapi pilihan raya Sabtu ini

Mesti Baca

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersiap sedia menghadapi pilihan raya di enam negeri yang akan berlangsung esok.

Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, semakan semua peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian sudah dipersiapkan.

“Semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.

“Semua peralatan akan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Tempat Mengundi (saluran),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi PRU DUN Ke-15, sebanyak 3,190 Pusat Mengundi dan 17,048 Tempat Mengundi (Saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian.

“Seramai 153,760 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti.

“Manakala untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu membabitkan seramai 1,995 orang petugas di 41 buah pusat mengundi yang mengandungi 217 Tempat Mengundi (Saluran).

“Seramai 9,674,456 orang pengundi bakal mengundi di PRU DUN Ke-15 dan bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 orang pengundi. SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya.

Katanya, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Walaubagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan. 

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

Beliau menasihatkan pengundi untuk membuat semakan awal maklumat pengundian bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

Advertisements

“SPR ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRU DUN Ke-15 dan PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos 2023 sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam, hari ini.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya.

SPR turut mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara terbabit adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR turut memaklumkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.

“Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.

“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya lagi.

Beliau berkata, SPR menyarankan pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju / topi / pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama / lambang/ simbol / gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Peranan, tanggungjawab Maritim Malaysia diiktiraf dunia

PERANAN serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia. Ini dibuktikan apabila Maritim...

Lagi Artikel Berkaitan