Friday, June 5, 2026

KKM larang guna akuarium sebagai bekas simpan makanan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, larangan itu terkandung dalam Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau berkata, akuarium biasanya diperbuat daripada bahan kaca atau plastik berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates, yang boleh larut dalam air seterusnya mencemarkan air tersebut, sekali gus mengakibatkan kesan kepada kesihatan.

“Dalam hal ini, menjadi satu kesalahan apabila akuarium yang berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan digunakan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas isu penggunaan akuarium sebagai bekas air untuk jualan seperti yang tular di media sosial.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan tujuan makanan.

“KKM menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan dan memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua,”ujarnya.

Pada masa sama, KKM menasihatkan orang ramai membeli makanan di premis yang bersih. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan