PENYANYI popular era 1980-an, Rohana Jalil menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pukul 11.33 malam tadi.
Khabar duka pemergian pemilik nama sebenar, Dara Abdul Aziz, 68, itu dikongsikan rakan seperjuangannya dalam industri hiburan, Haiza.
“Selamat berehat Kak Ana (Rohana). Allah lebih sayang Kak Ana. Allah permudah segala urusan.
“Usai bacaan (surah) Yasin malam tadi untuk akak, kami dikejutkan dengan pemergian akak.
“Bila akak bertarung sakit yang akak lalui sebenarnya Allah nak angkat darjat. Moga bertemu di syurga,” tulis Haiza menerusi Instagramnya.
Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21, Subang Jaya sebelum solat Zuhur hari ini.
Rohana dimasukkan ke hospital sejak April lalu akibat kebocoran usus dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa dipantau pasukan perubatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 April lalu turut berpeluang melawat dan bertanyakan khabar Allahyarham.
Karier seni Rohana bermula selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM 1980 dan antara lagu popularnya ialah Resahku, Rayuanku dan Naluri Cinta.
Allahyarham berkahwin dengan Jahangir Khan dan dikurniakan tiga cahaya mata termasuk pelakon, Kilafairy atau nama sebenar Syakila Nisa. – Edisi 9

