Sunday, July 19, 2026

Musyawarah Nasional jadi medan rangka solusi ummah – Zahid

Pendekatan musyawarah yang bersifat kolektif mampu menghasilkan keputusan lebih menyeluruh dan praktikal, selaras dengan keperluan semasa.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penubuhan Musyawarah Nasional bertujuan menjadi ruang bersama dalam merangka solusi menyeluruh terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam dan Melayu di negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Musyawarah Nasional berharap platform tersebut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional serta tokoh berpengaruh bagi memperkasa wacana dan tindakan bersepadu.

“Harapan saya agar Musyawarah Nasional ini menjadi satu platform yang menghimpunkan NGO Islam dan Melayu, ahli profesional, tokoh berpengaruh serta opinion leaders untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan merumuskan solusi terbaik kepada cabaran yang dihadapi ummah hari ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan watikah pelantikan kepada lima Pengerusi Teras yang akan memacu perbincangan dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Mereka ialah Datuk Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim sebagai Pengerusi Teras Agama;  Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi (Teras Politik); Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail (Teras Ekonomi); Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub (Teras Pendidikan) dan Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran sebagai Pengerusi Teras Sosial.

Hadir sama, Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman yang akan menyelaras gerak kerja keseluruhan inisiatif berkenaan.

Tambah Zahid, beliau bersama barisan kepimpinan turut meneliti beberapa agenda utama yang boleh digerakkan bagi memastikan pembangunan ummah terus diperkukuh secara inklusif dan bersepadu.

Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Pengerusi Teras Musyawarah Nasional di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan musyawarah yang bersifat kolektif mampu menghasilkan keputusan lebih menyeluruh dan praktikal, selaras dengan keperluan semasa.

“Semoga usaha yang sedang kita gerakkan ini menjadi medan menghimpunkan hikmah dan membawa manfaat yang besar, bukan sahaja kepada umat Melayu dan Islam, tetapi juga kepada masa depan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, lima  teras utama yang akan menjadi agenda Musyawarah Nasional dalam menghimpunkan pandangan strategik pelbagai lapisan masyarakat Melayu bagi menentukan hala tuju masa depan umat dan negara.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar wacana biasa, sebaliknya satu usaha kolektif untuk mencari titik persamaan, merumus penyelesaian serta membina konsensus nasional dalam mendepani cabaran semasa.

Cadangan penubuhan Musyawarah Nasional pertama kali dicetuskan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 pada Januari lalu. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan