ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak memandang ringan batuk yang berlarutan lebih dua minggu kerana ia mungkin merupakan tanda awal penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering.
Gejala yang sering dianggap masalah kesihatan biasa itu sebenarnya masih menular secara senyap dalam komuniti, sekali gus menyumbang kepada kemunculan kes baharu setiap minggu di negara ini.
Pakar Perubatan Dalaman Perunding dan Perubatan Respiratori di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Lo Shan Min berkata, pengawalan penyakit tibi masih menjadi cabaran kesihatan awam di Malaysia.
Menurutnya, sebanyak 596 kes baharu tibi dilaporkan di seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan pada Minggu Epidemiologi Keenam, menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi tahun 2026 meningkat kepada 3,161 setakat ini, dengan Sabah, Selangor dan Sarawak antara negeri mencatatkan jumlah tertinggi.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan Malaysia merekodkan kadar 122 kes tibi bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2023, dengan lebih 26,000 kes dilaporkan setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dr Lo menjelaskan, tibi boleh merebak apabila individu yang dijangkiti mengalami jangkitan aktif melalui batuk, percakapan atau bersin.
Beliau berkata, walaupun penularannya tidak semudah influenza atau COVID-19, hubungan rapat yang berpanjangan dalam persekitaran sesak serta kurang pengudaraan meningkatkan risiko jangkitan.
“Rumah, tempat kerja, asrama, penjara serta acara komuniti yang sesak boleh menjadi lokasi penularan sekiranya terdapat individu yang menghidap tibi aktif,” katanya hari ini.
Tambah beliau, faktor seperti kepadatan penduduk di kawasan bandar, mobiliti populasi, penuaan masyarakat serta penyakit komorbid seperti diabetes turut menyumbang kepada penularan berterusan.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), bakteria tibi merebak melalui zarah halus di udara, khususnya di ruang tertutup yang kurang pengudaraan, sekali gus menjadikan pendedahan berpanjangan sebagai faktor risiko utama.

Namun, Dr Lo menegaskan bahawa penularan tibi lazimnya tidak berlaku melalui pertemuan singkat, sebaliknya memerlukan pendedahan dalam tempoh yang lama di ruang tertutup.
“Memahami perbezaan ini penting bagi membantu mencegah penularan selanjutnya,” jelasnya.
Beliau berkata, antara tanda awal paling lazim bagi tibi paru-paru aktif ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu.
Gejala lain termasuk peluh malam, demam ringan, keletihan, penurunan berat badan tanpa sebab serta dalam kes lebih serius, kahak bercampur darah atau sakit dada.
“Gejala ini boleh muncul secara beransur-ansur. Ada individu menangguhkan pemeriksaan kerana menyangka ia hanya selesema biasa.
“Pengesanan awal amat penting, bukan sahaja untuk memastikan rawatan lebih berkesan, tetapi juga mengurangkan risiko menjangkiti orang lain,” katanya.
Walaupun peningkatan kes mungkin menimbulkan kebimbangan, Dr Lo menjelaskan ia juga berpunca daripada usaha saringan dan kaedah diagnostik yang semakin baik.
Katanya, penggunaan ujian molekul pantas, pengesanan kontak yang lebih menyeluruh serta peluasan program saringan membolehkan lebih banyak jangkitan dikenal pasti pada peringkat awal.
“Ini sebenarnya perkembangan positif kerana pesakit boleh menerima rawatan lebih awal dan tempoh penularan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Tambah beliau, tibi boleh dirawat dengan berkesan jika dikesan awal.
Data WHO menunjukkan kadar kejayaan rawatan bagi kes sensitif ubat adalah antara 85 hingga 90 peratus, sekiranya pesakit mematuhi rawatan standard selama enam bulan.
Sehubungan itu, Dr Lo menegaskan bahawa kesedaran awam, pengesanan awal dan sikap bertanggungjawab amat penting dalam usaha mengawal penularan tibi.
“Langkah mudah seperti mendapatkan pemeriksaan jika mengalami gejala berpanjangan, mengamalkan etika batuk serta menjalani saringan kontak boleh membantu membendung penularan penyakit ini,” katanya. — Edisi 9

