
RAMAI menyambut baik usaha Ketua Pemuda UMNO bersama barisan pemimpin muda Pas untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Bagi sebahagian besar orang Melayu, MN dilihat sebagai satu-satunya jalan keluar bagi meredakan perpecahan sesama bangsa yang semakin parah akibat perbezaan ideologi politik.
Hakikatnya, UMNO dan Pas ialah dua parti Melayu-Islam terbesar di negara ini, dengan keahlian mencecah jutaan orang.
Andai kedua-duanya benar-benar bersatu di bawah satu wadah perjuangan, sambil membuka ruang kepada parti-parti Melayu-Islam lain untuk bersama, tidak mustahil sebuah pemerintahan Melayu-Islam yang kukuh dan stabil dapat dibentuk.
Namun realitinya, apa yang kelihatan indah di atas kertas sering kali musnah di medan politik sebenar.
Keegoan kepimpinan, ketamakan kuasa dan trauma perseteruan lama menjadi penghalang terbesar kepada penyatuan ini.
Sejarah membuktikan UMNO dan Pas bukanlah parti yang mudah berada dalam satu saf. Perseteruan yang berlarutan puluhan tahun meninggalkan luka politik yang dalam.
Walaupun MN 1.0 berjaya dibentuk pada 2019, ia akhirnya runtuh akibat sikap saling menikam dari belakang, sekali gus memusnahkan harapan kesatuan Melayu-Islam ketika itu.
Jika MN 2.0 benar-benar ingin dijayakan, perkara pertama yang mesti dikorbankan ialah ego. Kepimpinan kedua-dua parti perlu berjiwa besar dan menerima hakikat bahawa tiada satu parti pun sempurna.
UMNO memiliki kekuatan tradisi di negeri-negeri barat Semenanjung seperti Johor, Melaka dan Pahang, selain pengaruh signifikan di Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Pas pula kukuh di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Jika kekuatan ini disatukan, ia berpotensi membentuk gabungan paling dominan dalam landskap politik nasional.
Lebih-lebih lagi jika sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat diraih, maka pengaruh Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP yang semakin dominan, boleh diseimbangkan secara realistik dan berkesan.
Namun persoalannya mudah: siapakah yang sanggup mengalah?
Pas tidak mungkin mudah menyerahkan kerusi yang telah “dipadamkan” UMNO di Terengganu, Kedah dan Perlis.
UMNO pula tentu tidak rela memberi laluan kepada Pas di kubu kuatnya seperti Johor, Melaka atau Negeri Sembilan. Inilah hakikat pahit yang sering dielakkan daripada dibincangkan secara jujur.
Namun jika penyatuan ini benar-benar atas nama agama, bangsa dan tanah air, maka segala kepentingan sempit perlu diketepikan.
Tanpa pengorbanan, MN 2.0 hanya akan menjadi slogan politik yang berakhir sebagai bahan sindiran.
Lebih penting, penyatuan Melayu-Islam tidak boleh terhad kepada UMNO dan Pas semata-mata.
Parti-parti lain seperti Bersatu dan Amanah juga perlu diletakkan dalam kerangka perbincangan yang matang dan inklusif.
Jika ditanya sama ada orang Melayu masih berharap UMNO dan Pas kembali bersatu di bawah MN 2.0, jawapannya ya. Harapan itu masih ada.
Namun harapan sahaja tidak mencukupi tanpa keikhlasan, kejujuran dan kesediaan untuk melepaskan keegoan.
Akhirnya, masa depan MN 2.0 tidak ditentukan oleh slogan atau perhimpunan, tetapi oleh sejauh mana pemimpin Melayu-Islam sanggup duduk semeja, bercakap benar dan berkorban demi kepentingan ummah, bukan kepentingan diri. — Edisi 9

