Tuesday, July 21, 2026

Khutbah Jumaat: Muhasabah tahun berlalu, azam tahun baharu

Ambillah sejenak masa pada hari-hari terakhir tahun 2025 ini, untuk bermuhasabah, merenung dan mengimbas, terhadap segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang tahun.

Mesti Baca

Jemaah yang dirahmati Ilahi.

Marilah kita meningkatkan iman dan memperteguh takwa. Taatilah Allah dengan sepenuh jiwa, walaupun menghadapi cabaran berat untuk menahan nafsu dan ujian dunia.

Ingatlah, dunia hanyalah persinggahan sementara, sedang akhirat itulah negeri yang kekal abadi. 

Hari ini merupakan Jumaat terakhir tahun 2025, oleh itu mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk Muhasabah Tahun Berlalu – Azam Tahun Baharu.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan melakukan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya) dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa-apa yang telah disediakannya (daripada amalan mereka) untuk hari esok (akhirat) dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui secara mendalam apa-apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hasyr ayat 18)

Tahun 2025 hampir melabuhkan tirai. Ambillah sejenak masa pada hari-hari terakhir tahun 2025 ini, untuk bermuhasabah, merenung dan mengimbas, terhadap segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan sepanjang tahun.

Muhasabah membolehkan kita sedar akan kekurangan diri, kesilapan yang pernah kita lakukan, sama ada secara sedar dan secara sengaja, ataupun secara tidak sedar dan secara tidak sengaja.

Muhasabah membolehkan kita merenung kelemahan yang perlu dibaiki dan pada masa yang sama membuat pembetulan serta melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Beberapa perkara yang perlu dimuhasabah:

Pertama: Muhasabah diri terhadap hubungan dengan Allah SWT perlu dilakukan dengan penuh keinsafan.

Sepanjang tahun 2025, adakah solat dilaksanakan pada awal waktu? Adakah kita mengutamakan solat berjemaah kalau tidak pun sempat ke masjid, dilakukan bersama anggota keluarga di rumah? 

Adakah membaca al-Quran dijadikan amalan harian? Pertambahan usia seharusnya seiring dengan pertambahan iman dan ketaatan, kerana perubahan diri adalah asas kepada perubahan yang lebih besar dalam kehidupan seorang hamba.

Kedua: Muhasabah diri dari sudut akhlak dan amanah menuntut kejujuran dalam menilai sikap dan amalan harian.

Penjagaan lidah, tulisan dan tingkah laku, khususnya dalam ruang media sosial, mencerminkan kematangan iman. 

Sifat amanah di tempat kerja, ketika berniaga dan melakukan tanggungjawab harian, bukan sekadar tanggungjawab terhadap sesama manusia, tetapi untuk memenuhi perintah Allah SWT. 

Akhlak yang rosak akan menghilangkan keberkatan hidup walaupun seseorang kelihatan berjaya pada mata manusia.

Ketiga: Muhasabah terhadap institusi keluarga amat penting kerana keluarga adalah asas pembinaan ummah. 

Masa berkualiti, kasih sayang dan didikan yang berterusan menjadi tiang seri keharmonian rumah tangga. Rumah yang dihidupkan dengan solat, doa, zikir dan perbualan yang barakah, melahirkan jiwa yang tenang.

Keempat: Muhasabah peranan ibu bapa dan anak-anak menuntut kesedaran bahawa pendidikan bermula dengan teladan. 

Ibu bapa bukan sekadar pemberi arahan tetapi menjadi contoh ikutan akhlak dan ibadah. 

Anak-anak memerlukan bimbingan seimbang antara kasih sayang dan disiplin, agar mereka tidak membesar tanpa arah; bahawa generasi masa hadapan, dibentuk melalui didikan pada hari ini.

Kelima: Muhasabah terhadap peranan dalam masyarakat menuntut setiap insan bersifat penyatu, bukan pencetus perpecahan. 

Kepekaan terhadap penderitaan orang lain seperti fakir miskin, mangsa bencana serta ahli keluarga dan jiran yang kesempitan, mencerminkan keimanan sebenar. 

Masyarakat beriman tidak hanya diukur dengan banyaknya mengerjakan ibadah secara peribadi, tetapi dikukuhi dengan nilai-nilai empati, tolong-menolong dan kasih sayang sesama insan.

Jemaah yang dimuliakan,

Sepanjang tahun 2025, apa jua ujian, musibah dan peristiwa yang menimpa ummah, sama ada baik atau buruk, membawa kebahagiaan atau kesedihan, suka atau duka; hendaklah diterima sebagai ketentuan Ilahi yang mengandungi pelbagai hikmah.

Rasulullah SAW menggambarkan keistimewaan orang mukmin melalui sabda Baginda:

Bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Setiap urusannya itu ada kebaikan. Ini tidaklah didapati kecuali pada orang mukmin sahaja. Jika dia diberi kesenangan, kemudian ia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu pun baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ayat 18 surah al-Hasyr yang khatib jadikan rujukan pada awal khutbah, menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan hamba Nya agar sentiasa memerhatikan perbuatan yang pernah dilakukan untuk dinilai dan terus dibaiki sebagai persediaan bagi memperoleh kejayaan dunia – kejayaan akhirat.

Tahun baharu yang bakal menjelang menuntut kita memperbaharui azam dan niat. 

Azam bukan sekadar perancangan di atas kertas, tetapi menuntut kesungguhan mahu melakukan perubahan. 

Jika tahun lalu kita leka, tahun ini kita hendaklah sedar. Jika tahun lalu kita banyak mengeluh, tahun ini kita hendaknya banyak bersyukur. 

Azam tahun baharu hendaklah dilakukan untuk kejayaan duniawi dan ukhrawi. 

Mimbar mencadangkan azam duniawi dan ukhrawi seperti berikut:

Pertama: Memastikan azam duniawi selari dengan syariat, berusaha meningkatkan disiplin, kecekapan dan integriti dalam kerjaya yang diceburi.

Meningkatkan penguasaan pelbagai ilmu dan kemahiran. Mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi tabiat yang merosakkan rohani dan jasmani.

Memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga, jiran, rakan sekerja dan masyarakat. 

Mengurus perbelanjaan dan kewangan secara berhemah di samping melaksanakan amanah dengan tekun.

Kedua: Azam ukhrawi berusaha memperbaiki amalan solat, puasa, tilawah dan penghayatan al-Quran serta amalan-amalan sunat. 

Menjaga akhlak, lidah dan perbuatan. Memperbanyakkan sedekah, wakaf dan amal jariah. 

Meningkatkan keinsafan, bertaubat atas dosa lampau dan bertekad tidak mengulanginya.

Mempelajari ilmu agama dan menyebarkannya kepada keluarga, masyarakat dan umat Islam.

Jemaah Rahimakumullah

Mimbar menyimpulkan:

Pertama: Tahun yang berlalu menandakan usia kita semakin tua – ajal semakin hampir. Oleh itu, perbanyakan bertaubat, memohon keampunan Ilahi, melakukan amar makruf dan menjauhi diri daripada perkara mungkar.

Kedua: Lakukan muhasabah diri, dengan mengenal pasti dan menyenaraikan kelemahan dan kekurangan di samping menggandakan amalan soleh dan kegiatan berfaedah demi kebaikan diri, agama, bangsa dan negara.


Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 26 Disember 2025.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan