KERAJAAN terus memperkukuh agenda pembangunan belia negara melalui pelaksanaan dua inisiatif baharu yang memberi tumpuan terhadap keselamatan digital serta kesejahteraan kesihatan remaja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Kali Keenam yang dipengerusikannya di Parlimen hari ini, bagi memastikan dasar pembangunan belia kekal inklusif dan bersepadu.
Menurut beliau, mesyuarat bersetuju melaksanakan Malaysia Against Malicious Exploitation – Community of Practice (MYGAME–CoP) dan Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR 2.0) sebagai usaha memperkukuh perlindungan keselamatan digital serta memantapkan kesihatan belia negara.
“MYGAME-COP bakal menjadi pelindung baharu keselamatan digital negara. Ia dibangun untuk menangani eksploitasi ruang permainan dalam talian, mencegah pengaruh ekstremisme, memperkukuh literasi digital serta memposisikan Malaysia sebagai peneraju keselamatan siber serantau khususnya dalam dunia e-sukan dan komuniti ‘gamers’,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ruang permainan digital semakin menjadi tumpuan generasi muda, justeru kerajaan perlu memastikan wujudnya ekosistem yang selamat dan bebas daripada ancaman eksploitasi.
Berhubung dengan PROSTAR 2.0, beliau berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada kesihatan beliau melalui pendidikan seksual dan reproduktif yang menyeluruh, intervensi awal bagi tingkah laku berisiko serta penglibatan belia sebagai rakan pendidik (peer educators).
“Inisiatif ini menyokong komitmen negara untuk mencapai sasaran Ending AIDS 2030 dan melahirkan generasi muda yang lebih sihat, lebih peka serta bebas stigma,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan kerajaan akan terus menambah baik dasar pembangunan belia bagi memastikan Malaysia melahirkan generasi muda yang berintegriti, berdaya tahan dan bersedia memimpin masa depan negara.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

