KERAJAAN menetapkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi kepada RM2.66 dan RON97 kepada RM3.29 bagi tempoh 4 Disember hingga 10 Disember, menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
MOF berkata, peningkatan sebanyak 3 sen bagi kedua-dua jenis petrol itu berikutan peningkatan harga minyak dunia.
“Kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97 dan RON95 berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga,” kata MOF dalam kenyataan.
Sementara itu, MOF berkata, harga runcit bagi diesel di Semenanjung kekal pada RM3.08 seliter manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Manakala RON95 bersubsidi di bawah BUDI95 juga kekal pada harga RM1.99.
MOF berkata, kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Edisi 9

