Sunday, July 19, 2026

Dr Akmal ajak Pas bentuk semula Muafakat Nasional

Apa yang berlaku di Perlis memperlihatkan belang sebenar Bersatu yang telah menikam Pas dari belakang.

Mesti Baca

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh hari ini secara terbuka mengajak Pas untuk membentuk semula Muafakat Nasional (MN) susulan kemelut kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.

Menurut beliau, apa yang berlaku di Perlis memperlihatkan belang sebenar Bersatu yang telah menikam Pas dari belakang.

Beliau berkata, UMNO sudah lama mengingatkan Pas, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lagi agar memperkasa MN dan bukannya PN.

“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang.

“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional kita wujudkan semula Muafakat Nasional.  Amacam?” katanya dalam Facebok beliau hari ini.

Dr Akmal mengulas pergolakan yang berlaku dalam kerajaan PN Perlis apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Mereka ialah kesemua lima ADUN Bersatu serta tiga ADUN Pas.

Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d) Perlembagaan Pas, bahawa tiga orang Ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah “terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.”

Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Sementara itu Ketua Penerangan Pas, Fadhli Shaari menyambut baik cadangan Dr Akmal dan berharap UMNO segera keluar dari Kerajaan Madani.

Beliau turut mencadangkan agar ditubuhkan semula jawatankuasa peruding antara kedua-dua parti bagi merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah. 

“Tahniah Ketua Pemuda UMNO. Hidupkan kembali rundingan, tubuh jawatankuasa perunding. Sebaik sahaja UMNO/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH (Pakatan Harapan), kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” katanya.

Untuk rekod pada 2019, UMNO dan Pas membentuk kerjasama berpiagam menerusi Muafakat Nasional, namun hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Ini berikutan tindakan Pas yang turut menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dan membentuk Perikatan Nasional, sekaligus membelakangi UMNO.

MN secara rasmi dibubarkan pada 13 Oktober 2022 iaitu menjelang PRU-15. — Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan