BEREGU campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menamatkan kemarau kejuaraan apabila merangkul gelaran sulung siri jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini.
Beregu negara itu mengambil masa 11 bulan untuk meraih gelaran pertama menerusi kejohanan badminton Terbuka Australia 2025, sebentar tadi.
Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun sudah menempah slot ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China bulan depan selepas muncul juara Kejohanan Dunia BWF Ogos lalu.
Dalam perlawanan akhir di Quaycentre, Sydney sebentar tadi, pasangan pilihan pertama kejohanan itu menundukkan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Nathaniel Pasaribu, dengan straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 42 minit.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan Tang Jie-Ee Wei terus mengungguli lawan dengan jarak kemenangan 5-0.
Dalam set pertama beregu negara pada awalnya diberikan tentangan oleh pihak lawan sebelum berjaya menjarakkan mata demi mata sehingga 11-6.
Bagaimanapun selepas interval, beregu Indonesia berjaya memperbaiki permainan dan mengejar mata sehingga berkedudukan 14-14.
Tan Jie-Ee Wei kemudian berjaya meninggalkan pasangan Indonesia dan menamatkan set pertama dengan 21-16.
Dalam set kedua, beregu negara ternyata terlalu unggul sehingga berjaya menamatkan dengan mudah, 21-11.
Dengan kemenangan tersebut, gandingan ranking keempat dunia itu berjaya membawa pulang USD37,525 (RM155,400). — Edisi 9

