Monday, July 20, 2026

Lelaki ‘konoha’ dipenjara seludup empat migran senegara

Operasi dilaksanakan di Taman Putra Kajang, Selangor pada 29 Ogos 2025 di mana suspek bersama empat migran telah ditemui di dalam sebuah rumah di alamat tersebut.

Mesti Baca

SEORANG lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun dipenjara dua tahun atas kesalahan menyeludup empat migran senegaranya di Kajang, Selangor pada 29 Ogos lalu.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Shah Alam semalam, melibatkan sabitan kes di bawah Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670]. 

“Tangkapan dibuat hasil Operasi Khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan di Jalan Putra Pangsapuri Mawar, Taman Putra Kajang, Selangor pada 29 Ogos 2025 di mana suspek bersama empat migran telah ditemui di dalam sebuah rumah di alamat tersebut.

Zakaria berkata, pihaknya memberikan komitmen tegas dan berterusan dalam membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang. 

Beliau berkata, tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), serta warganegara asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah.

“JIM juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan ini. 

“Sebarang bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang-undang imigresen, dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan. 

Katanta, maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan jabatan itu. 

“Jabatan Imigresen Malaysia komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan