RANGKAIAN pasar raya terkemuka, Giant, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri runcit negara apabila meraikan ulang tahun ke-81 dengan penganjuran Majlis Makan Malam Anugerah Rakan Niaga, baru-baru ini.
Majlis yang bertemakan “Bersama Kita Berusaha, Berjaya, Maju” itu bukan sahaja meraikan kecemerlangan dan perjalanan panjang Giant sejak penubuhannya pada tahun 1944, tetapi turut menzahirkan komitmen baharu syarikat terhadap pertumbuhan mampan dan inovasi masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Cheah Yong Hock, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua rakan niaga atas sokongan padu yang membolehkan Giant kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran runcit yang semakin mencabar.
“Kami komited terhadap peningkatan berterusan, kecemerlangan operasi dan pertumbuhan mampan. Kejayaan Giant tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat pembekal dan rakan kongsi kami,” katanya.
Acara kemuncak malam itu ialah penyampaian Anugerah Rakan Niaga, yang mengiktiraf sumbangan cemerlang pembekal dan rakan strategik dalam pelbagai kategori.
Pengiktirafan tersebut menekankan nilai kolaborasi dan kepercayaan sebagai tunjang utama ekosistem runcit GIANT.
Turut dipertontonkan ialah tayangan perdana filem warisan GIANT, yang menjejaki perjalanan syarikat daripada kedai runcit kecil kepada jenama runcit nasional yang sinonim dengan nilai harian dan kemudahan kepada pengguna.
Tayangan itu turut memaparkan portfolio lebih luas GCH Retail, termasuk jenama Cold Storage, Mercato, dan TMC Supermarkets.
Antara rakan niaga yang tampil dalam dokumentari tersebut termasuk Affin Bank, DKSH, Nestlé, Saji, Mondelez, dan Chap Tong Guan, yang berkongsi kisah kerjasama strategik bersama GCH Retail dalam mengukuhkan pertumbuhan industri.
Seiring dengan hala tuju masa depan, GCH Retail mengesahkan pelan pengembangan baharu di Malaysia dan Singapura dengan pembukaan cawangan tambahan bagi jenama Cold Storage, Mercato dan TMC.
Syarikat itu juga memperkenalkan konsep runcit premium Jason’s, Jason’s Foodhall, dan Jason’s Deli, bagi memenuhi permintaan pengguna urban yang semakin sofistikated. — Edisi 9

