Sunday, July 19, 2026

Op Pedo 2.0 bukti jenayah eksploitasi kanak-kanak makin parah

Ini bukan anomali, ini bukti kejahatan ini telah berevolusi menjadi satu industri gelap yang memangsakan anak-anak kita - Syerleena

Mesti Baca

PENDEDAHAN hasil Op Pedo 2.0 merupakan satu kejutan besar dan tamparan terhadap masyarakat kita, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Ini terbukti apabila seramai 31 suspek termasuk kanak-kanak seawal usia 12 tahun ditahan atas dakwaan terlibat dalam pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Beliau berkata, apa yang terbongkar bukan lagi kes terpencil tetapi tanda jelas bahawa jenayah itu telah berubah menjadi industri terancang berasaskan keuntungan, yang bergerak di sebalik aplikasi terenkripsi, media sosial, storan awan dan dompet digital.

“Seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan memperoleh RM76,000 hasil jualan bahan CSAM dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Suspek termuda pula hanya berumur 12 tahun.

“Ini bukan anomali, ini bukti kejahatan ini telah berevolusi menjadi satu industri gelap yang memangsakan anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi berkenaan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sembilan negeri berjaya merampas lebih 880,000 fail digital bahan lucah melibatkan kanak-kanak.

Ini termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Johor, Sabah, Sarawak dan Kelantan.

Jumlah itu, katanya, adalah 20 kali ganda lebih besar berbanding rampasan sekitar 40,000 fail dalam Op Pedo 1.0 yang dijalankan Disember tahun lalu.

Syerleena memuji kejayaan pasukan khas yang terlibat, terutamanya kerjasama antara Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan unit jenayah siber MCMC.

Namun tegas beliau, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk membendung ancaman tersebut.

“Kita mesti memperkukuh undang-undang, meningkatkan hukuman, dan memaksa syarikat teknologi serta penyedia platform digital untuk lebih bertanggungjawab.

“Pada masa sama, ibu bapa, guru dan masyarakat perlu digerakkan untuk memantau serta mendidik anak-anak tentang keselamatan digital,” tegas beliau.

Syerleena turut mengingatkan bahawa usaha memerangi jenayah ini perlu dilakukan secara menyeluruh, dengan kerjasama antara agensi kerajaan, penggubal dasar, dan rakyat.

“Setiap penangkapan, setiap rampasan dan setiap operasi seperti Op Pedo ialah langkah penting untuk memusnahkan dunia gelap digital yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Masa depan mereka sedang dipertaruhkan dan kita tidak boleh sekadar menjadi pemerhati,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pelaku jenayah seksual kanak-kanak bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kepada mereka yang memperdagangkan penderitaan kanak-kanak, kamu tidak akan selamat. Skrin kamu tidak akan melindungi kamu, nama palsu kamu tidak akan menyembunyikan kamu.

“Apa yang kamu lakukan bukan sekadar jenayah, tetapi kejahatan terhadap kemanusiaan,” katanya.

Syerleena menegaskan, Malaysia mesti menjadi benteng yang tegas terhadap eksploitasi digital yang memangsakan kanak-kanak.

Manakala rakyat perlu bersatu menolak budaya normalisasi terhadap bahan lucah atau kandungan berunsur penderaan seksual.

“Apabila nilai keinnocenan dijadikan komoditi, maka tamadun manusia mula hancur dari dalam,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan