UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta dalam acara Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day 2025 yang berlangsung di Gerbang Suria Sport City, di Tanjong Malim, Rabu lalu.
Acara larian sejauh lima kilometer itu diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan Edisi Oktober dan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, dengan penyertaan warga universiti, pelajar sekolah serta komuniti setempat.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata, penganjuran Bubble Run bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya platform penting untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan mental melalui pendekatan fizikal yang menyeronokkan.
“Menurut laporan WHO (2025), aktiviti sukan yang dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu mampu menurunkan kadar kemurungan dan kebimbangan sehingga 30 peratus.
“Gabungan Bubble Run dan Hari Sukan Negara ini amat bertepatan untuk menyampaikan mesej kesejahteraan mental dalam suasana yang positif dan menyeronokkan,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.
Suriani berkata, program yang bakal direkodkan dalam Malaysia Book of Records itu mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh budaya sihat dalam kalangan warganya melalui gabungan sukan, inovasi dan data.
“Ini bukan sekadar rekod penyertaan, tetapi simbol semangat warga UPSI yang proaktif, kreatif dan berinovasi dalam menyampaikan mesej kesihatan mental melalui aktiviti fizikal,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program Millenia Bubble Run Mental Health x Malaysia Day 2025, Izzah Ilyana Kamal berkata, acara tersebut direka khas bagi menggabungkan elemen keseronokan, kebersamaan dan kesedaran kesihatan mental dalam satu program yang inklusif.
“Larian sejauh lima kilometer ini diadakan dalam suasana penuh warna-warni dengan buih sabun, muzik dan sorakan peserta,” katanya.
Menurutnya, penganjuran kali ini turut disertai pelbagai agensi dan komuniti tempatan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak, dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Daerah Muallim 2025.
“Kami mahu menunjukkan bahawa UPSI bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga pusat komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat,” tambahnya. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

