Tuesday, July 21, 2026

Khutbah Jumaat: Mulianya umat dengan adab

Kata-kata boleh menjadi ubat, dan boleh juga menjadi racun. Lidah yang tidak dijaga boleh memutuskan silaturahim dan ukhuwah sesama umat Islam.

Mesti Baca

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan
meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.

Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan berbual-bual dan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Mulianya Umat Dengan Adab”.

Saudaraku yang dirahmati Allah SWT,

Hari ini kita hidup dalam zaman yang aneh. Ilmu berada di hujung jari, tetapi adab semakin jauh. Ramai yang petah berhujah tentang hukum dan dalil, tetapi kasar dalam tuturnya, menghina dalam bicaranya.

Ramai yang lantang bercakap tentang kebenaran, namun gagal menzahirkan akhlak orang yang beriman.

Begitulah apabila ilmu dipisahkan daripada adab, lahirlah generasi yang mungkin tahu banyak perkara tetapi tidak tahu cara beradab dengan manusia, bahkan dengan Allah SWT.

Kerana itu, Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman),” Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (kepada orang yang menentang kebenaran). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan dalam kalangan mereka (yang beriman dan yang menentang). Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia.”


Tuan-tuan, lihatlah bagaimana Allah SWT mendidik kita dengan kalam
yang begitu halus, tetapi tegas. Allah SWT tidak memerintahkan kita sekadar bercakap, tetapi cakaplah dengan perkataan yang paling baik.

Kerana kata-kata boleh menjadi ubat, dan boleh juga menjadi racun. Lidah yang tidak dijaga boleh memutuskan silaturahim dan ukhuwah sesama umat Islam.

Sidang Muslimin yang berbahagia,

Perbezaan dan perselisihan pandangan adalah lumrah, bahkan fitrah manusiawi yang tidak dapat dielakkan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 118-119 yang bermaksud:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendakinya, tentu Dia menjadikan semua manusia ini umat yang satu (namun tidak berbuat demikian) dan disebabkan itulah mereka terus-menerus berselisih faham. Kecuali orang yang dikurniakan rahmat oleh Tuhanmu (mereka bersatu dalam rahmat Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah mencipta manusia. Dengan itu, sempurnalah janji Tuhanmu, dan Aku pasti akan memenuhkan neraka Jahanam dengan jin dan manusia (yang berdosa)”.


Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa jika Dia kehendaki, sudah tentu boleh sahaja dijadikan umat manusia itu umat yang satu, tidak ada perbezaan antara mereka.

Namun, Allah SWT tidak menghendaki sebegitu kerana sebenarnya wujud hikmah di sebalik perbezaan dan perselisihan antara umat manusia.

Hadis yang diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqqas Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aku telah memohon kepada Tuhanku tiga perkara. Maka Dia memperkenankan untukku dua daripadanya, dan menolak satu. Aku memohon kepada Tuhanku agar Dia tidak membinasakan umatku dengan kemarau panjang (kelaparan), lalu Dia memperkenankannya untukku. Aku juga memohon agar Dia tidak membinasakan umatku dengan tenggelam (banjir besar), lalu Dia memperkenankannya untukku. Dan aku memohon agar Dia tidak menjadikan permusuhan dan pertumpahan darah berlaku sesama mereka, maka Dia tidak memperkenankannya untukku.” (Riwayat Muslim).

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Menurut para ulama hadis, hikmah di sebalik tidak diperkenankan doa Nabi SAW agar umat ini tidak berselisih ialah kerana Allah SWT mahu menguji hamba-Nya.

Bagaimana mereka menguruskan perbezaan yang pasti wujud. Perbezaan adalah satu rahmat apabila diiringi dengan ilmu dan adab. Tapi jika ia lahir daripada sikap amarah dan sangka buruk, akhirnya yang tinggal hanyalah perpecahan dan kebencian.

Sebab itu kita diajar untuk bersangka baik terhadap saudara seagama kita. Jangan cepat bersangka buruk dan menimbulkan kebencian di khalayak ramai.

Ingatlah, sangka buruk ini pintu kepada permusuhan yang tidak berkesudahan. Inilah penyakit yang sedang merosakkan hubungan sesama
kita. Sedangkan orang yang beriman, apabila berlaku salah faham, dia akan
mencari alasan untuk memaafkan, bukan alasan untuk membenci.

Di samping itu juga, Islam sangat menekankan adab dalam berbeza pandangan, berlapang dada walaupun berhadapan dengan pendapat yang tidak sama.

Kita jangan cepat menghukum dan jangan taksub dengan pandangan sendiri. Kerana yang lebih penting daripada menang hujah, ialah menjaga hati dan persaudaraan sesama Muslim.

Lihatlah bagaimana tawaduknya Imam al-Syafie, seorang tokoh mazhab yang ilmunya diiktiraf seluruh dunia Islam, namun masih berkata dengan rendah diri:

“Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang pun melainkan aku suka jika dia memperoleh kebenaran (bukan kesalahan). Dan tidak ada ilmu yang ada dalam hatiku melainkan aku ingin agar semua orang juga memilikinya, tanpa perlu dinisbahkan kepadaku.”


Beginilah adab seorang ulama sejati. Walaupun luas ilmunya, beliau tidak menutup ruang perbezaan. Dalam hal yang kita tidak sepakat, jangan cepat menolak apatah lagi memperlekeh.

Kadang-kadang pandangan yang berbeza itu bukan untuk memecah belahkan, tapi untuk meluaskan kefahaman dan mendidik hati agar lebih tenang dan berlapang dada.

Hadirin yang dikasihi Allah SWT,

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan adab yang tinggi dalam berbeza pandangan. Baginda SAW tidak pernah menyalahkan sahabat hanya kerana mereka memahami suatu arahan dengan cara yang berbeza.

Dalam peristiwa di Bani Quraizah, diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah seseorang di antara kamu solat Asar melainkan di Bani Quraizah”. Di pertengahan jalan, sebahagian sahabat menyedari waktu Asar telah masuk. Sebahagian mereka berkata, “Kita tidak akan solat sehingga sampai ke sana,” dan sebahagian lagi berkata, “Bahkan kita solat sekarang, kerana Baginda SAW tidak bermaksud sedemikian.” Apabila perkara itu disampaikan kepada Nabi SAW, Baginda tidak menyalahkan seorang pun daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari).

Peristiwa ini mengajar kita bahawa perbezaan kefahaman tidak semestinya membawa kepada perpecahan jika diurus dengan adab dan sikap berlapang dada. Kerana Islam bukan sahaja menuntut kesepakatan, malah meraikan perbezaan dengan penuh hikmah.

Maka, dalam kita berbeza, rajin-rajinlah berjumpa mata ke mata, duduklah berbincang, dan carilah titik persamaan. Bukan dengan sindiran atau perbalahan di ruang maya media sosial.

Raikanlah akhlak dan adab-adabnya supaya ia tidak membawa kepada perkara lebih buruk seperti permusuhan, perbalahan, kata-mengata, menghasut, sehinggalah kepada pembunuhan. Wal’iyazubillah.

Rasulullah SAW sendiri bukanlah orang yang berkata keji atau kasar, bahkan terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr Radiallahuanhuma, beliau berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW bukanlah seorang yang berkata keji dan bukan pula orang yang melakukan perkara keji. Lalu bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu ialah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, amat malang jika umat Islam hari ini hanya sibuk memberi perhatian kepada perbezaan pandangan yang hanya akan membawa kepada kerugian.

Apa yang lebih penting, carilah titik-titik persamaan ke arah memajukan umat Islam dalam segenap aspek, supaya umat ini tetap kuat dan disegani. Jangan biarkan perbezaan pandangan memecah belahkan saf, sedang musuh bergembira melihat kita berpecah.

Ketahuilah bahawa kesatuan hakiki hanya akan tercapai apabila kita berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT, menjaga adab dan akhlak serta menjauhi segala bentuk penyelewengan dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Hanya dengan cara ini, kita mampu menikmati keharmonian dalam berdepan perbezaan.

Para tetamu Allah SWT yang dikasihi,

Mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita mengambil pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan kita, iaitu:

  1. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa kemuliaan bukan sahaja terletak pada banyaknya ilmu atau tingginya kedudukan, tetapi juga pada adab dan akhlak yang lahir daripada keimanan kepada Allah SWT.
  2. Umat Islam hendaklah sentiasa mendahulukan persaudaraan berbanding perbezaan, serta menjadikan adab sebagai tunjang dalam menegakkan kebenaran dan menyebarkan dakwah.
  3. Umat Islam hendaklah mencontohi akhlak Rasulullah SAW, yang beradab dalam menegur dan penuh hikmah dalam berinteraksi.

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah ruah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), kamu bersikap lemah lembut terhadap mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu). Dan sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang dilakukan oleh mereka terhadapmu) dan mohonkanlah keampunan bagi mereka serta bermesyuaratlah dengan mereka dalam apa-apa urusan (peperangan dan soal keduniaan). Kemudian, apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya .” (Surah Ali Imran :159).


Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 17 Oktober 2025.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan