
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Semoga kita semua diberikan kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Para jemaah diingatkan supaya jangan berbual-bual dan bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.
Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Hadis Fitnah Akhir Zaman, Bagaimana Pendirian Kita?”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Fitnah akhir zaman adalah setiap sesuatu perkara yang tidak baik, sama ada kemaksiatan, kemungkaran dan kejahatan yang berlaku pada akhir zaman ini.
Para ulama silam telah memberi perhatian besar terhadap isu hadis-hadis akhir zaman kerana ia termasuk sebahagian daripada perkara ghaib yang diberitakan oleh Nabi SAW.
Mereka mengumpul dan menulisnya untuk memandu umat agar sentiasa bersedia, bukan untuk menakut-nakutkan tanpa arah.
Ini membuktikan betapa pentingnya bab fitnah akhir zaman dalam tradisi keilmuan Islam.
Namun, apa yang sedikit merisaukan kita pada hari ini ialah trend sebahagian masyarakat yang cuba ‘mencantikkan’ hadis-hadis akhir zaman dengan padanan teori-teori konspirasi.
Hal ini menimbulkan suasana cemas yang melampau, seolah-olah setiap berita dunia mesti digandingkan dengan hadis-hadis tertentu tanpa asas ilmu yang sahih.
Tidak dinafikan bahawa menimbulkan kesedaran tentang dekatnya hari kiamat itu baik. Namun, kesedaran itu harus dibina atas fakta dan ilmu yang benar, bukan atas persepsi, sangkaan, atau padanan yang mengelirukan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada suatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya) sehingga akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu!”
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Para ulama kita sejak dahulu hingga kini telah meletakkan kaedah-kaedah penting agar kita tidak tersesat atau terjerumus dalam salah faham ketika berinteraksi dengan hadis-hadis fitnah akhir zaman.
Mereka memandu kita supaya berpegang kepada ilmu, bukan kepada sangkaan atau ketakutan yang tidak bertempat.
Di sini, khatib kongsikan dua prinsip utama dalam memahami hadis-hadis akhir zaman.
Pertama, jangan mentafsir hadis mengikut sangkaan tanpa dalil yang sahih.
Contohnya, dalam sejarah ketika berlaku Perang Teluk pada tahun 1990, ada pihak yang tergesa-gesa mengaitkan peristiwa itu dengan hadis tanpa bukti ilmiah.
Sikap ini hanya menimbulkan kekeliruan dan keresahan tanpa asas.
Kedua, jangan mengaitkan hadis dengan sesuatu peristiwa melainkan apabila tanda dan isyaratnya jelas, dan para ulama tidak berselisih tentangnya.
Jika tidak jelas, para ulama menasihatkan kita menyebut dengan penuh adab:
“Kemungkinan hadis ini merujuk kepada peristiwa ini, dan Allah lebih mengetahui.”
Hanya mereka yang benar-benar alim dalam bidang hadis, memahami keseluruhan riwayat, tahu mengharmonikan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah, serta memahami realiti semasa dengan mendalam, yang layak mengaitkan hadis dengan peristiwa semasa.
Ini kerana peristiwa di dunia ini luas, tidak semua yang kita sangka tepat pada apa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.
Dalam memahami hadis fitnah akhir zaman, kita perlu terlebih dahulu meneliti rujukan yang sahih dengan disiplin ilmu yang menyeluruh, kerana ia merupakan amanah besar yang mesti disampaikan dengan penuh cermat, beradab dan bertanggungjawab.
Janganlah kita terburu-buru mentafsir dan menyebar hadis fitnah akhir zaman tanpa ilmu dan bimbingan ulama, kerana akibatnya adalah dosa dan kekeliruan ummah.
Muslimin yang dirahmati Allah SWT,
Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 33 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutlah akan hari (akhirat) yang (ketika itu) seorang bapa tidak dapat melepaskan anaknya (daripada azab dosanya) dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya daripada azab dosa masing-masing!
“Sesungguhnya janji Allah itu pasti benar, maka janganlah kamu terpedaya oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu terpedaya oleh bisikan syaitan (yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah)”.
Ayat ini datang sebagai satu seruan yang amat jelas, persiapkan diri kita dengan takwa dan amal, kerana pada hari kiamat nanti, tidak ada siapa pun yang dapat menolong sesiapa.
Ironinya, segelintir kita pada hari ini lebih suka menjadi “pengkaji tidak bertauliah”, berlumba-lumba meneka bila Dajjal akan muncul, bila Ya’juj dan Ma’juj akan keluar, atau bila langit akan terbelah sedangkan solat kita masih di hujung waktu, sedekah kita pun susah dikeluarkan, dan akhlak kita tidak tahu ke mana.
Bukankah lebih baik masa itu digunakan untuk memperbaiki diri, daripada menambah koleksi teori dan sangkaan tentang kiamat yang tidak menambah satu pun timbangan amal kita?
Allah SWT menutup ayat ini dengan peringatan yang menusuk jiwa, janji Allah SWT itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula syaitan memperdayakan kamu tentang Allah SWT.
Tapi sayangnya, segelintir kita kadang lebih percaya kepada video yang dikongsi dari media sosial daripada percaya pada janji Allah SWT.
Dunia terus menipu dengan menjadikan kita ghairah mengejar teori kiamat, konspirasi, dan ramalan, hingga kita lupa bahawa penyelesaian sebenar ialah pada amal yang ikhlas dan hati yang tunduk kepada Allah SWT.
Muslimin yang berbahagia,
Tujuan utama Rasulullah SAW menyampaikan hadis-hadis berkenaan akhir zaman bukanlah untuk menakutkan umat atau menjerumuskan mereka dalam keresahan yang berlebihan.
Sebaliknya, ia adalah satu bentuk rahmat dan bimbingan daripada Baginda SAW, agar umat sentiasa bersiap siaga dengan amal soleh, takwa, dan istiqamah dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Kiamat itu pasti, namun Baginda SAW mengajar kita untuk mengisi waktu sebelum kiamat dengan amal, bukan sekadar duduk menunggu tanda-tanda, meneka-neka peristiwa atau terperangkap dalam teori-teori yang belum tentu benar, apatah lagi diambil daripada hadis palsu.
Inilah hikmah besar di sebalik peringatan Baginda SAW, supaya umat sentiasa sedar dan berjaga-jaga, bukan lalai atau leka.
Hadis-hadis akhir zaman tentang fitnah harta, fitnah Dajjal, fitnah kuasa dan sebagainya datang bersama panduan dan jalan keluar. Nabi SAW tidak hanya menyebutkan fitnah dan bahayanya, tetapi turut menunjukkan jalan penyelamat.
Solat, zikir, menuntut ilmu, membina ukhuwah dan berjamaah, semua ini adalah benteng yang diajar agar kita selamat daripada gelombang fitnah akhir zaman.
Maka menjadi silap besar jika kita hanya memfokuskan pada tanda-tanda dan berita sensasi akhir zaman, tetapi mengabaikan panduan amal yang Rasulullah SAW wariskan kepada kita.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Segeralah kamu beramal (sebelum datang) fitnah-fitnah yang gelap-gelita seperti potongan malam yang kelam. Pada waktu pagi seseorang itu beriman, petangnya menjadi kafir atau pada petangnya dia beriman, paginya menjadi kafir. Dia sanggup menjual agamanya demi habuan dunia yang sedikit.” (Riwayat Muslim).
Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya segera beramal sebelum fitnah akhir zaman datang menimpa, bukan terperangkap dalam pencarian petanda kiamat dan teori-teori konspirasi.
Peristiwa-peristiwa itu pasti berlaku, soalnya: kita di mana? Apakah kita bersiap dengan iman dan amal, atau hanyut dengan sangkaan buruk dan cerita kosong yang tidak menguatkan agama kita? Inilah masa untuk muhasabah, sebelum terlambat.
Selain itu, hadis-hadis yang menerangkan segala fitnah dan peristiwa akhir zaman pada hakikatnya adalah sebuah tarbiyyah iaitu didikan Nabi SAW kepada umatnya.
Baginda SAW mengajarkan kita supaya berhati-hati dan menjauhi fitnah akhir zaman yang akhirnya hanya membawa kepada perpecahan dan persengketaan.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Akan berlakunya fitnah-fitnah. Orang yang duduk adalah lebih baik daripada orang yang berdiri. Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan. Orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari. Sesiapa yang mendatangi fitnah tersebut maka dia akan binasa. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka berlindunglah dengannya.” (Riwayat al-Bukhari).
Hadirin yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita iaitu:
1. Umat Islam hendaklah bertakwa kepada Allah SWT dengan memelihara amal soleh dan istiqamah dalam melaksanakannya.
Setiap kebaikan, walau sekecil menanam benih, akan menjadi bekalan yang amat bernilai pada hari perhitungan kelak.
2. Umat Islam hendaklah menjauhi dosa dan maksiat kerana ia adalah beban yang menyusahkan dan jika tidak diiringi dengan taubat akan menjadi hujah yang membinasakan kita di Mahsyar.
3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa persediaan sebenar menghadapi kiamat bukan dengan meneka tanda atau teori konspirasi yang tidak membawa faedah, tetapi dengan menuntut ilmu yang sahih agar setiap amal menjadi bekalan yang menyelamatkan kita di hari Akhirat.

“Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat. Katakanlah, “Ilmu tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah. “Dan bagaimanakah caranya kamu dapat mengetahui? Barangkali hari kiamat itu sudah dekat waktunya”. (Surah Al-Ahzab: 63).

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor, 19 September 2025

