INISIATIF Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui penggerakan Mobile Integrated Radio and Internet Communication System (PRIME) membuktikan keupayaan teknologi menjadi nadi penting kepada rakyat ketika bencana melanda.
Ketua Cabang PKR Tawau, Fung Thin Yein berkata, kejayaan PRIME jelas kelihatan ketika banjir besar yang melanda Sabah baru-baru ini apabila sistem tersebut berfungsi memulihkan rangkaian komunikasi kritikal yang terjejas teruk.
“Pada saat masyarakat berdepan gangguan komunikasi yang meluas, PRIME telah memainkan peranan penting walaupun jarang diketengahkan.
“Ia memulihkan rangkaian komunikasi yang kritikal, menyokong pasukan penyelamat, serta menghubungkan semula keluarga yang terputus hubungan apabila jaringan konvensional gagal berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PRIME merupakan unit bergerak berautonomi penuh yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio mudah alih serta Wi-Fi, sekali gus mampu beroperasi di kawasan terjejas termasuk di Penampang dan Kampung Cendrakasih.
Fung turut menegaskan bahawa pencapaian tersebut bukan sahaja hasil kecanggihan teknologi, tetapi juga kepimpinan.

Menurutnya, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah konsisten dalam komitmen beliau memperkukuh daya tahan negara manakala pandangan jauhnya dalam memprioritikan infrastruktur komunikasi sebagai tonggak pengurusan bencana wajar dipuji setinggi-tingginya.
Dalam masa yang sama, jelas beliau, Pengerusi MCMC, Tan Sri Salim Fateh Din bersama pasukan beliau telah menterjemahkan visi ini ke dalam tindakan dengan profesionalisme dan kecemerlangan teknikal.
“Kepimpinan mereka berdua telah memperlihatkan contoh terbaik tentang bagaimana kerajaan berfungsi untuk rakyat,” katanya.
Tambah Fung, PRIME mencerminkan roh sebenar kerangka MADANI kerana ia adalah inovasi digembleng untuk rakyat, kesiapsiagaan yang diterjemahkan dalam tindakan, serta bukti bahawa kerajaan mampu berfungsi secara penyayang dan cekap dalam waktu paling mencabar.
“Banjir di Sabah telah menguji daya tahan kita, tetapi ia juga mengingatkan kita tentang apa yang boleh dicapai apabila kita berdiri bersama, bersiap siaga, dan dipandu dengan visi yang tepat.
“PRIME lebih daripada sekadar sebuah sistem. Ia adalah simbol harapan, kesiapsiagaan, dan janji bahawa tidak ada rakyat Malaysia yang akan terpinggir dalam waktu kesusahan,” katanya. — Edisi 9

