PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia menangguhkan cadangan mengadakan Himpunan Maruah Tanah Airku setelah pihak polis telah mengambil tindakan terhadap individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.
Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata, penangguhan himpunan yang sepatutnya berlangsung hari ini di Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap individu berkenaan.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menafikan mesej permohonan maaf penangguhan himpunan seperti yang tersiar di media, kerana ia bukan kenyataan rasmi.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tetap tegas dan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Hafiz juga menyambut baik pengumuman oleh Ketua Polis Pulau Pinang, bahawa individu yang memasang bendera secara terbalik telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah
Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Sebelum ini itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Ini termasuk kejadian pemasangan bendera terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina dan terbaharu membabitkan individu di sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin sebelum ini mengesahkan bahawa individu berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Himpunan Maruah Tanah Airku bertujuan menghimpunkan ahli dan penyokong parti sebagai solidariti mempertahankan maruah negara, khususnya melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang.
Polis Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang. – Edisi 9

