KETUA-KETUA UMNO Bahagian seluruh negara sebulat suara mendesak kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memperkenan supaya Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Ketetapan tegas itu dicapai dalam satu perjumpaan khas Ketua-Ketua UMNO Bahagian malam ini yang diadakan atas inisiatif bersama sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Setiausaha Agung UMNO bertarikh 11 Julai lalu mengenai isu berkenaan.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, para Ketua Bahagian menegaskan bahawa Titah Adendum tersebut bukan lagi isu yang boleh dipertikaikan, memandangkan kewujudannya telah disahkan secara rasmi oleh Istana Pahang menerusi surat bertarikh 4 Januari 2025.
Malah, Mahkamah Rayuan Putrajaya juga pada 6 Januari 2025 telah memutuskan bahawa Titah Addendum itu adalah sah dari sudut undang-undang.
“Ini membuktikan bahawa pihak Peguam Negara telah menyembunyikan fakta penting ini daripada pengetahuan umum selama lebih setahun, satu tindakan yang mengecewakan ahli-ahli parti serta rakyat yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” tegas kenyataan itu.
Tambah mereka, tindakan menyembunyikan titah diraja bukan sahaja melanggar prinsip ketelusan dan akauntabiliti, malah mencemarkan kewibawaan Institusi Diraja serta menafikan keadilan yang sewajarnya untuk Perdana Menteri Keenam itu.
Sehubungan itu, tiga ketetapan utama telah dipersetujui sebulat suara oleh Ketua-Ketua Bahagian UMNO:
1. Mendesak Perdana Menteri segera melaksanakan Titah Addendum tanpa lengah, membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sebagaimana diperkenan oleh Seri Paduka Baginda.
2. Menuntut Peguam Negara menarik balik rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan 6 Januari 2025, selaras dengan peranan beliau sebagai penjunjung titah Raja dan pelindung prinsip keadilan.
3. Mencadangkan agar semua Persidangan Bahagian UMNO membawa usul khas berkaitan Titah Adendum, bagi menunjukkan kesatuan dan solidariti seluruh parti dalam mempertahankan Institusi Diraja serta prinsip keadilan sejagat.
Para Ketua Bahagian juga menegaskan, isu tersebut bukan sekadar membabitkan seorang individu, tetapi menyentuh asas kenegaraan termasuk soal kedaulatan undang-undang, penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu serta kewibawaan sistem keadilan negara.
“UMNO berdiri teguh mempertahankan keluhuran Perlembagaan, prinsip keadilan, dan institusi Raja-Raja Melayu,” tegas kenyataan itu. — Edisi 9

