Wednesday, July 22, 2026

Pendidikan global: UPSI latih 22 tenaga pengajar dari Uzbekistan

Mesti Baca

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya di peringkat antarabangsa apabila melatih seramai 22 pensyarah dan guru dari Uzbekistan menerusi program latihan profesional selama dua minggu bermula 15 hingga 29 Mei lalu.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) UPSI itu diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, Selangor, bertujuan meningkatkan kecekapan pengajaran dan pengurusan akademik tenaga pengajar dari negara Asia Tengah tersebut.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev berkata, program tersebut memberi fokus kepada pendekatan pengajaran inovatif, penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah serta strategi penilaian yang berkesan.

“Ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program ini akan dapat dimanfaatkan secara langsung di institusi masing-masing. Ia selaras dengan keperluan pendidikan global masa kini,” katanya semasa majlis penutupan program berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama tersebut turut mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan tinggi, sekali gus membuka ruang strategik untuk pertukaran pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik.

Md Amin Md Taff dan Karomidin Gadoev bersama para pengajar dan peserta.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha UPSI untuk menjadi peneraju dalam membina jaringan pendidikan global, khususnya dengan negara-negara Asia Tengah.

“Program ini hasil perbincangan strategik dalam Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Uzbekistan pada Februari lalu, yang meletakkan UPSI sebagai peneraju latihan kepakaran dalam pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, UPSI komited menyokong agenda pembangunan pendidikan serantau dan antarabangsa, termasuk dalam memperkasa kapasiti pendidik luar negara melalui pendekatan latihan berstruktur.

Dalam pada itu, peserta turut didedahkan dengan pendekatan Pendidikan Berorientasikan Hasil (OBE), penggunaan teknologi dalam PdP serta kemahiran komunikasi untuk konteks global. Mereka juga mengikuti lawatan silang budaya ke Putrajaya dan Port Dickson.

Wakil peserta, Dr. Sulaymanova Nilufar Jabbarovna dari Samarkand State Institute of Foreign Languages dan Dr. Abdullayeva Ulfatoy Turakhonovna dari Tashkent State Agrarian University menyifatkan program itu sebagai pengalaman yang bermanfaat dan memperkukuh kompetensi pengajaran mereka.

Turut hadir pada majlis penutupan ialah Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Pengarah IMAC, Profesor Dr. Ramlee Ismail; serta Timbalan Pengarah IMAC, Dr. Nor Fadila Kasim dan Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan