JABATAN Peguam Negara (AGC) menjelaskan, permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bukan bertujuan memberikan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.
Sebaliknya, jabatan itu berkata, ia melibatkan isu-isu baharu yang belum pernah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.
AGC dalam kenyataan berkata, permohonan itu dibuat di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Katanya, ia melibatkan lapan persoalan yang menyentuh isu keperlembagaan, khususnya berkaitan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan tugas Eksekutif dengan berkesan.
“Antara persoalan yang dikemukakan ialah sama ada tindakan sivil yang berkaitan dengan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir,” menurut kenyataan itu hari ini.
Turut disentuh ialah persoalan sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seumpama itu dan sama ada beberapa peruntukan Perlembagaan termasuk Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 menyokong perlindungan prosedural bagi menjamin pemisahan kuasa serta kestabilan institusi.
Jabatan itu turut menjelaskan, persoalan yang dirujuk bukan mengenai kekebalan peribadi tetapi menyentuh soal struktur tadbir urus perlembagaan negara.
“Proses rujukan ini membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad terhadap isu yang belum pernah dirungkai sebelum ini,” kata kenyataan itu.
AGC juga menjunjung tinggi integriti mekanisme perlembagaan dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan berdasarkan sentimen politik.
Dalam pada itu, AGC turut menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kesan peruntukan Perlembagaan adalah bidang kuasa penuh Mahkamah Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media dan reaksi awam terhadap permohonan rujukan yang difailkan oleh pihak Perdana Menteri baru-baru ini. – Edisi 9

