Tuesday, July 21, 2026

Transit palsu terbongkar, 105 warga asing diarah pulang

Dalam operasi pemantauan yang dijalankan, lebih 400 individu dari Bangladesh, Pakistan dan India telah diperiksa. 

Mesti Baca

TAKTIK licik sekumpulan warga asing yang cuba memasuki negara dengan menyamar sebagai penumpang transit terbongkar apabila Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mengesan helah tersebut dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Menurut kenyataan AKPS, dalam operasi pemantauan yang dijalankan, lebih 400 individu dari Bangladesh, Pakistan dan India telah diperiksa. 

Agensi itu berkata, hasil saringan mendapati seramai 105 daripada mereka tidak memenuhi syarat kemasukan dan seterusnya diarahkan pulang ke negara asal.

Katanya, taktik yang digunakan adalah dengan mendakwa mereka hanya singgah di Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke negara ketiga. 

“Namun, siasatan bersama syarikat penerbangan mendapati tiket ke negara ketiga telah dibatalkan sebaik sahaja mereka menaiki pesawat ke Malaysia.

“Tindakan ini jelas menunjukkan niat untuk memasuki Malaysia secara tidak sah dan mengelirukan pihak berkuasa dengan menyalahgunakan laluan transit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pendedahan tersebut, AKPS memberi jaminan bahawa pengawasan di semua pintu masuk negara akan terus dipertingkatkan dengan mekanisme semakan yang lebih ketat serta saringan menyeluruh terhadap setiap individu yang keluar atau masuk ke negara ini.

Agensi itu turut menegaskan, tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak termasuk pegawai yang cuai atau bersubahat dalam insiden seumpama itu. 

“Tindakan tatatertib dan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan utama dan AKPS komited untuk membanteras sebarang bentuk pencerobohan atau penyalahgunaan prosedur kemasukan,” katanya lagi. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan