DUA beregu campuran utama negara, Chen Tan Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai mengalami nasib berbeza dalam aksi suku akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2025 hari ini.
Tan Jie-Ee Wei yang kembali digandingkan bagai menemui semula sentuhan apabila menundukkan Jesper Toft-Amalie Magelund 17-21, 21-16, 21-14 di Istora Senayan, Jakarta hari ini.
Pasangan No 4 dunia itu mengambil masa 53 mini untuk menyingkirkan pasangan Denmark itu bagi menempah slot ke separuh akhir dalam siri Super 1000 itu.
Mereka akan bertemu Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di separuh akhir esok, setelah pasangan Thailand itu berjaya menundukkan Soon Huat-Shevon.
Pasangan No 5 dunia itu tewas 21-16, 21-12 kepada pilihan keenam kejohanan tersebut, sekaligus melebarkan rekod kekalahan 5-3 kepada jaguh Thailand itu.
Jaguh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah juga berjaya melangkah ke separuh akhir setelah menundukkan beregu Jepun, Ron Iwanaga-Kie Nakanishi 21-6, 21-18.
Mereka akan berdepan pasangan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min yang juga pilihan keenam kejohanan.
Bagi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sekali lagi mara ke separuh akhir selepas menundukkan jaguh India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-19, 21-16.
Ini adalah kemenangan pertama Wei Chong-Kai Wun ke atas beregu India tersebut dalam lima pertemuan sebelum ini.
Harapan untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri di peringkat separuh akhir esok tidak kesampaian apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tewas kepada beregu tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Beregu No 1 dunia itu tumpas 19-21, 21-9, 19-21 kepada pasangan Indonesia itu dalam permainan sengit ditambah sorakan para penonton tuan rumah menenggelamkan suasana di Istora Senayan. – Edisi 9

