TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) diselaraskan mulai Januari 2026.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengelakkan pertindihan tawaran serta memastikan peluang pengajian yang lebih tersusun, saksama dan efisien kepada semua pelajar.
Beliau berkata, pelajar masih boleh memohon ke kedua-dua institusi namun dengan penyelarasan tersebut, hanya satu tawaran rasmi akan dikeluarkan kepada setiap pelajar yang layak.
“Kita mahu wujudkan sistem yang lebih cekap, teratur dan tidak merugikan mana-mana pihak.
“Insya-Allah, cadangan ini akan diperhalusi bersama agensi berkaitan agar anak-anak kita terus mendapat akses pendidikan terbaik demi masa depan yang cemerlang,” katanya hari ini.

Sebelum itu Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menghadiri Wacana Inspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri di MRSM Lenggong, Perak.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, dalam ucapan pada majlis tersebut, Zahid menjelaskan, penubuhan MRSM bukanlah agenda politik, jauh sekali atas dasar asabiyah.
Sebaliknya, kata beliau, ia adalah agenda nasional untuk memastikan anak-anak peribumi tidak ketinggalan dalam pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah.
“Kerana itu juga saya amat tegas dalam soal membanteras gejala buli. Sebelum ini, saya telah mengarahkan Pengerusi MARA untuk memastikan budaya buli dihapuskan sepenuhnya daripada seluruh institusi MRSM.
“Tiada kompromi! Saya juga setuju dengan pendekatan “You Touch, You Go” yang dibawa oleh Pengerusi MARA,” katanya.
Beliau berkata, MRSM harus menjadi tempat selamat dan kondusif untuk semua pelajar berkembang menjadi “cream of the cream” sebagai bakal pemimpin, ahli akademik, dan profesional hebat.
“Saya turut menyimpan hasrat, insya-Allah suatu hari nanti, Perdana Menteri Malaysia akan lahir daripada kalangan anak-anak MRSM.
“Saya yakin dan percaya, MRSM serta seluruh Institut Pendidikan MARA (IPMA) akan terus maju dan melahirkan lebih ramai generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. – Edisi 9

