Thursday, June 4, 2026

Universiti Al-Azhar setuju beri diskaun untuk pelajar tajaan MARA

Universiti tersohor dunia itu bersetuju memberikan pengurangan yuran daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 untuk tempoh pengajian selama lima tahun - Asyraf Wajdi

Mesti Baca

HARAPAN untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) kembali menghantar pelajar tajaannya mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar, Mesir semakin cerah.

Ini berikutan keputusan universiti tersohor dunia itu bersetuju memberikan pengurangan yuran kepada pelajar tajaan MARA daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 untuk tempoh pengajian selama lima tahun.

Berita gembira itu dikongsikan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.

Beliau berkata, keputusan Universiti Al-Azhar itu adalah hasil perundingan yang dilakukan oleh pihaknya dan pengurusan universiti itu baru-baru ini.

“Alhamdulillah, berita ini baru sahaja diterima. Insya-Allah saya akan mengarahkan MARA untuk segera siapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk diangkat kepada Majlis Jemaah Menteri bagi membolehkan MARA kembali menaja pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,”katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada Februari lalu, Asyraf Wajdi mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Al-Azhar, Prof Dr. Salamah Abu Daud di kampus universiti itu di Kaherah, Mesir dan menyatakan hasrat untuk kembali menaja para pelajar dalam bidang perubatan dan pergigian ke universiti itu.

Asyraf berkata, hasrat beliau untuk melihat lebih ramai anak-anak Melayu dan Bumiputera profesional dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi dapat dilahirkan.

Pada masa yang sama, mereka mempunyai jati diri dan tasawwur Islam yang kuat berorientasikan Ulul-Albab.

Untuk rekod, MARA telah mengurangkan penghantaran pelajar perubatan ke luar negara, termasuk ke Mesir sejak 2015 lagi.

Pengerusi MARA ketika itu, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu diambil bagi mengawal dan mengelak lambakan graduan perubatan di Malaysia.

Pada masa yang sama, kata beliau, jumlah institusi pengajian di dalam negara juga semakin banyak dan mampu menampung keperluan negara. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan