Wednesday, July 22, 2026

Lebih afdal tangguhkan kemenangan Pas – Puad Zarkashi

Menangguhkan kemenangan Pas bermakna menghentikan politik kebencian agama serta penggunaan ayatayat al-Quran dan hadis sesuka hati. 

Mesti Baca

PARA pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning tidak perlu menangguhkan ibadah haji dan umrah, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ini kerana, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, menangguhkan kemenangan Pas tidak bermakna menangguhkan kemenangan Islam.

“Belum tentu Pas menang maka Islam akan tertegak. Apatah lagi kalau Pas menang di PRK Ayer Kuning. Setakat menang satu kerusi tidak mengubah kerajaan perpaduan di Perak,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, adalah lebih baik pengundi di Ayer Kuning menangguhkan kemenangan Pas.

Ini kerana, jelas beliau, menangguhkan kemenangan Pas bermakna menghentikan politik kebencian agama serta penggunaan ayatayat al-Quran dan hadis sesuka hati. 

“Ia termasuk fatwa-fatwa politik yang mengelirukan,” katanya.

Mohd Puad berkata, Pas juga tidak membuktikan apa-apa apabila berkuasa sepertimana di Kelantan dan Trengganu.

“Apa kejayaan Pas? Tangguh kemenangan Pas. Jangan tangguh haji dan umrah,” katanya.

Ketika berceramah dalam kempen PRK DUN Ayer Kuning Ahad lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menyeru umat Islam agar mengutamakan kemenangan dalam landskap politik negara, termasuk menangguhkan rancangan menunaikan ibadah haji ke Mekah.

Merujuk kepada pengajaran daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW, Hadi menegaskan penguasaan politik umat Islam ke atas penganut agama lain merupakan ketentuan Allah SWT.

Namun, Hadi mengulangi rungutan sebelum ini bahawa umat Islam di negara ini lebih cenderung menunaikan ibadah haji berbanding berusaha untuk menguasai pentadbiran negara.

“Utamakan kemenangan politik. Nabi nak tunaikan haji pun… nabi mendahulukan kemenangan politik daripada tunaikan haji dan umrah.

“(Ia) boleh ditangguh, kemenangan politik tidak boleh ditangguh,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan