Tuesday, July 21, 2026

Christian Abad pemain warisan terbaharu Harimau Malaya?

Kemunculan pemain berusia 19 tahun pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Padang Seri Gelam menjadi bualan kalangan netizen.

Mesti Baca

KELIBAT penjaga gol muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Christian Abad Amat pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam menjadi bualan kalangan netizen.

Menerusi sekeping gambar yang dikongsi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menunjukkan Christian Abad giat menjalani latihan biarpun namanya tiada dalam senarai yang diumum oleh Peter Cklamovski baru-baru ini.

Ini menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen kemungkinan pemain kelahiran Sepanyol berusia 19 tahun itu antara tiga pemain warisan terbaharu yang akan menyertai skuad kebangsaan.

Bekas pemain Juvenil B Elche itu menyertai JDT pada Julai tahun lalu sebagai penjaga gol ketiga.

Jika benar, bermakna Christian Abad akan bersama tiga lagi penjaga gol yang diumumkan sebelum ini bagi memperkuatkan Harimau Malaya berdepan Nepal pada Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac ini.

Mereka ialah penjaga gol utama JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamaed, Kalamullah Al-Hafiz Mohd Rowi (Selangor FC) dan Muhammad Haziq Nadzli (Perak FC).

Untuk rekod, Christian Abad mendapat bimbingan Akademi Valencia sejak berusia 10 tahun dan kekal menjadi sebahagian daripada kelab hingga usianya mencecah 15 tahun sebelum dipinjamkan ke CD Alcoyano.

Ketika sidang media di Wisma FAM minggu lalu, Cklamovski memaklumkan nama tiga pemain warisan yang akan menyertai skuad Harimau Malaya akan diketahui minggu ini.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kemudiannya mendedahkan pemain kelab Portimonense, Hector Hevel adalah antara pemain warisan yang bakal menyarung jersi kebangsaan.

Baginda yang juga pencetus revolusi bola sepak skuad kebangsaan bertitah, Hevel yang juga pemain kelahiran Belanda, telah melaporkan diri pada 31 Januari lalu namun sengaja tidak dihebohkan.

Pada Januari lalu, FAM memberi bayangan sekurang-kurangnya lapan pemain warisan yang baharu bakal menyarung jersi kebangsaan tidak lama lagi.

Katanya, empat daripada mereka sedang menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan manakala empat lagi dalam proses melengkapi dokumentasi yang diperlukan.

Jika semuanya berjalan lancar, mereka berpeluang untuk menyertai Harimau Malaya yang akan meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di bawah kendalian Ketua Jurulatih baharu, Cklamovski. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan