PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan sekurang-kurangnya lapan pemain warisan yang baharu bakal menyarung jersi kebangsaan tidak lama lagi.
Menurut FAM, empat daripada mereka sedang menunggu kelulusan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan manakala empat lagi dalam proses melengkapi dokumentasi yang diperlukan.
Jika semuanya berjalan lancar, mereka berpeluang untuk menyertai Harimau Malaya yang akan meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di bawah kendalian Ketua Jurulatih baharu, Peter Cklamovski.
“FAM berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan dalam usaha meningkatkan mutu pasukan Harimau Malaya,” kata FAM dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, pihaknya telah mengenal pasti sekurang-kurang tujuh pemain warisan yang sedang beraksi dalam liga-liga di Eropah.
Titah baginda, rata-rata pemain terbabit datang dari selatan Eropah dan tiada satupub yang berasal di England.
“(Pemain warisan tersebut bermain di posisi) pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan sayap kiri.
“Majoriti bermain di liga teratas di Eropah. Tiada pemain dari England dan kebanyakan dari Eropah Selatan,” titah Tunku Mahkota Ismail dalam laman X milik baginda baru-baru ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan F akan berdepan dengan Nepal pada 25 Mac ini sebagai aksi pertama, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia itu.
Selain Malaysia dan Nepal, kumpulan itu juga turut dihuni oleh Laos dan jaguh Asia Tenggara, Vietnam untuk menempah slot terakhir ke Arab Saudi itu. – Edisi 9