PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang dijangka berlangsung tahun depan menjadi medan bagi menguji kesetiaan berpolitik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, PRN itu akan menguji sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan akan saling ‘mendengar’ antara satu sama lain.
“Khususnya BN-PH dengan GRS atau BN-PH dengan Warisan. Umum mengetahui UMNO kurang mesra dengan GRS dan PH pula kurang mesra dengan Warisan,” katanya hari ini.
Semalam, ketika berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan, Zahid berkata, pendapat BN harus didengari bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.
Menjawab kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Zahid berkata UMNO yang merupakan tunjang BN, amat mengambil berat soal kesetiaan dalam berpolitik.
“Saya ingin menyatakan bahawa kerjasama Umno dan BN dengan kerajaan perpaduan adalah sehingga PRU-16. Oleh demikian, bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat daripada menteri yang mewakili BN.
“Jangan ada usaha untuk membawa mana-mana bagi menyeberang… kerana soal kesetiaan perkara utama dalam kepimpinan UMNO,” tegasnya seperti dilapor media.
Sabtu lalu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilapor yakin kerajaan perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.
Puad berkata, kenyataan Zahid yang juga Pengerusi BN itu amat tepat kerana UMNO khususnya, amat mengutamakan kesetiaan berpolitik.
Sebab itu jelas beliau, BN kekal selepas 50 tahun walaupun perbezaan pendapat ada kalanya tegang.
“Sebab itu juga UMNO tidak boleh kekal lama dengan Pas dan Bersatu. Dua kali perkahwinan UMNO dengan Pas berakhir dengan perceraian. Iaitu masa PAS sertai BN 7 Mac 1974 dan membentuk Muafakat Nasional,” katanya.
Baru-baru ini Anwar mengakui wujud perbincangan peringkat awal berhubung kemasukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam PKR.
Usaha menarik Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri itu didakwa bagi menggantikan kedudukan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor, atau apa yang dipanggil ‘Langkah Kota Raja’. – Edisi 9