DEFISIT kepercayaan terhadap Peguam Negara semakin sukar dipulihkan, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.
Ini kerana, persepsi bahawa Peguam Negara sengaja menyembunyikan kewujudan titah adendum semakin kuat susulan kenyataan terbaharu yang dikeluarkannya semalam berhubung permohonan tahanan rumah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
“Persepsi sudah terbina kuat. Titah adendum memang wujud. AG (Peguam Negara) dituduh sembunyi fakta, AG tidak lagi bebas, AG dipengaruhi politik.
“Dan Najib serta keluarganya mangsa pertuduhan tergesa gesa, racun dan penuh dendam. Trust deficit (defisit kepercayaan) makin sukar dipulihkan,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Semalam Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan ‘arahan terbaharu’ berkaitan titah adendum ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Rayuan, 6 Januari ini.
Jabatan itu berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Mohd Puad yang juga ADUN Rengit bagaimanapun berkata, surat Jabatan Peguam Negara (AGC) yang dikeluarkan pada hari tidak bekerja semalam sepatutnya keluar setahun lalu bila cerita titah adendum ini wujud.
“Sekarang terlambat. Nasi sudah jadi bubur,”katanya.
Pada 9 Disember lalu, AGC berkata, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum.
Memetik laporan media, jabatan itu berkata, penetapan tarikh tersebut adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum. – Edisi 9