30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, January 24, 2025

Titah adendum Najib: Jabatan Peguam keluar ‘arahan terbaru’

Mesti Baca

JABATAN Peguam Negara (AGC) mengeluarkan ‘arahan terbaharu’ berkaitan titah adendum ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Rayuan, 6 Januari ini.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain. 

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu berkata, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. 

Katanya, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.

“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara berkata, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum. 

Memetik laporan media, jabatan itu berkata,  penetapan tarikh tersebut adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum. 

“Sehubungan itu, semua pihak dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis. 

“Ini berikutan rayuan dan notis usul berkenaan masih belum diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Advertisements

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah. 

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata. 

Dalam permohonan yang difailkan April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lalu.

Pada 10 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan titah adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 8 Disember 2023.

Anwar menjelaskan, beliau sendiri terlibat pada mesyuarat itu dan isu berkenaan tidak dibincangkan. 

Pada 2 Februari lalu, mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan, lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Sebelum itu, pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengenepikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Diskaun 50 peratus bayaran tol sempena Tahun Baharu Cina

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar  biasa sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025,...

Lagi Artikel Berkaitan