30.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 4, 2024

Soket elektrik 3-pin dilarang dipasang dalam semua bas

Mesti Baca

SEMUA pengendali bas tidak dibenarkan menggunakan soket elektrik 3-pin di dalam bas berkuatkuasa sejak 6 November lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, arahan itu berkuatkuasa sejak 6 November sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan oleh pihak kementerian.

Tegas beliau, bagi proses pelesenan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada mengemukakan beberapa keputusan laporan atau sijil yang diperlukan.

“Antaranya, pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

“Selain itu, pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan (contoh: kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain) yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres pada 1 November lalu.

Rentetan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 4 November telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk meneliti insiden berkenaan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Pasukan Petugas Khas mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut adalah tidak teratur, di mana sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik. 

Di samping itu, kata beliau, penggunaan kelengkapan elektrik yang digunakan dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.

Advertisements

Katanya, pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah lulus pemeriksaan PUSPAKOM pada 20 Mei lalu, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera. 

“Ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, MOT melalui APAD telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres berkenaan, iaitu Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd pada 4 November lalu. 

Katanya, pada 5 November, JPJ telah melaksanakan siasatan dan pemeriksaan ke atas badan bas tersebut di Butterworth, Pulau Pinang. 

Beliau berkata, pada 6 November, wakil daripada ST, JPJ, MIROS, SIRIM, dan APAD turut melaksanakan pemeriksaan awal di premis syarikat pembuat bas terlibat (coach builder) di Beranang, Selangor. 

“Laporan penyiasatan mengenai punca insiden telah disediakan oleh Pasukan Petugas Khas. Laporan penyiasatan penuh akan dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas kepada Kementerian Pengangkutan kelak. 

“Selanjutnya, APAD juga telah mengenal pasti bahawa sebuah lagi bas milik pengendali yang sama turut mempunyai spesifikasi pendawaian elektrik yang sama. 

“Sehubungan itu, pada 7 November, pihak APAD telah mengeluarkan surat pemberhentian sementara operasi bas berkenaan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas,” katanya.

Advertisements

Terkini

Bahasa kebangsaan identiti negara yang tidak wajar dipersoal

Oleh PROF MADYA DR SALINAH JAAFAR BAHASA Melayu atau bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.  Sewajarnyalah penggunaan...

Lagi Artikel Berkaitan