KEMPEN Belanja & Menang Ninja Mart yang dilaksanakan buat pertama kali selama tiga bulan mulai 1 April hingga 30 Jun lalu telah melakar satu kejayaan dari segi perkomersilan.
Ketua Ninja Mart Malaysia & Naib Presiden Operasi di Ninja Van, Matthew Sequerah Lee berkata, kempen seluruh negara itu melibatkan diri secara aktif dan menyumbang semula kepada lebih 30,000 peruncit dari wilayah utama iaitu utara, tengah dan selatan tanah air.
Beliau berkata, wilayah-wilayah tersebut menjadi tonggak sokongan utuh platform tersebut sejak pelancarannya pada 2022.
“Dalam mempromosikan penglibatan yang berkesan di seluruh negara, komunitinya turut merangkumi lebih 200 jurujual yang beroperasi di 14 hab seluruh wilayah yang disebutkan itu dengan sokongan empat penaja jenama untuk kempen ini,”katanya.
Beliau berkata, kempen Belanja & Menang mendapat sokongan rakan jenama iaitu Cricket, Indomie, YokeFood dan Karabao Marketing yang menawarkan hadiah menarik dalam pengumpulan tiket cabutan oleh peruncit sepanjang tempoh kempen.
“Seperti namanya Belanja & Menang, kempen berkenaan melibatkan gabungan kaedah pemasaran dagangan bulanan dan kaedah peringkat pulangan tunai untuk meningkatkan penglibatan peruncit menerusi kutipan tiket melalui aplikasi Ninja Mart Cashback.
“Secara automatik, ia membolehkan penyertaan dalam peraduan cabutan bertuah Belanja & Menang dan peruncit berpeluang untuk memenangi ganjaran hadiah sehingga RM60,000,”katanya.
Matthew berkata, tidak hanya peruncit, pihak penaja jenama juga berpeluang mendapatkan keterlihatan yang lebih besar dan jangkauan pasaran yang lebih luas serta memainkan peranan penting dalam memacu penglibatan lebih daripada 30,000 peruncit yang menyumbang kepada kejayaan kempen berkenaan.
Katanya, dari segi pencapaian utama Ninja Mart, ia berjaya melibatkan lebih 8,000 peruncit, menarik lebih 300,000 penyertaan tiket dan mendaftarkan 6,000 pengguna aplikasi baharu pada aplikasi Ninja Mart.
“Kempen ini sangat penting kerana ia mengiktiraf kedai yang mempunyai prestasi terbaik.
“Begitu juga usaha untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh antara pasukan setempat, peruncit dan rakan kongsi jenama kami serta akhirnya menyumbang kembali dan mengiktiraf mereka yang sudah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami,” katanya. – Edisi 9